Interpol tidak keluarkan Notis Merah sewenang-wenangnya - Peguam

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) tidak mengeluarkan Notis Merah (Red Notice) secara automatik walaupun menerima permohonan daripada mana-mana negara ahlinya.
Peguam, Aidil Khalid berkata, setiap permohonan perlu melalui proses saringan oleh pentadbiran organisasi itu kerana Interpol tidak berfungsi seperti pasukan polis tempatan, sebaliknya terikat kepada perlembagaan serta kaedah dan peraturan yang mengawal operasinya.
Menurutnya, Perkara 3 Perlembagaan Interpol secara tegas melarang organisasi itu daripada campur tangan atau menjalankan sebarang aktiviti yang bersifat politik, ketenteraan, agama atau perkauman.
"Larangan itu bermaksud Interpol tidak boleh terlibat dalam kes yang mempunyai unsur politik, termasuk membabitkan dakwaan hasutan atau kenyataan jelik, selain kes berkaitan agama dan perkauman.
"Matlamat hakiki Interpol adalah membanteras jenayah terancang rentas sempadan seperti pemerdagangan manusia, keganasan, pengedaran dadah, jenayah siber termasuk penipuan dan scam antarabangsa serta pengubahan wang haram.
"Interpol bukan untuk disibukkan dengan jenayah-jenayah kecil lagi remeh temeh hanya kerana sekumpulan manusia berasa sakit hati," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Beliau mengulas mengenai usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapatkan Notis Merah Interpol terhadap aktivis Tamim Dahri Abdul Razak yang dipercayai berada di luar negara bagi membantu siasatan kes provokasi agama.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Rabu dilaporkan berkata, permohonan yang dikemukakan kepada Interpol pada 8 Jun lalu dibuat selepas PDRM turut memohon pembatalan pasport suspek sebagai sebahagian daripada usaha mengesan keberadaannya.
Mengulas lanjut Aidil berkata, Kaedah 83 Peraturan Interpol Mengenai Pemprosesan Data turut menetapkan tiga syarat sebelum Notis Merah boleh dikeluarkan bagi menjadikan seseorang suspek dikehendaki di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, syarat pertama ialah Notis Merah tidak boleh dikeluarkan bagi kesalahan yang boleh dipertikaikan berkaitan isu kebudayaan atau kebiasaan di negara lain.
Sebagai contoh, katanya, perbuatan membakar bendera di banyak negara dianggap sebagai satu bentuk protes dan kebebasan bersuara yang sah serta tidak diklasifikasikan sebagai jenayah, walaupun terdapat negara yang menganggapnya sebagai kesalahan.
"Perkara sama turut terpakai terhadap isu membabitkan kritikan kepada simbol agama atau kepercayaan.
"Syarat kedua menetapkan Notis Merah tidak boleh dikeluarkan bagi kesalahan yang membawa hukuman penjara kurang daripada dua tahun.
"Syarat ketiga ialah Notis Merah hanya boleh dikeluarkan jika ia dianggap penting dan mustahak bagi tujuan kerjasama polis antarabangsa," katanya.
Sehubungan itu, Aidil berkata, kesalahan yang disifatkannya sebagai remeh seperti dakwaan memijak besi buruk tajam yang membahayakan di tempat awam, yang menurutnya juga tidak menjadi jenayah di kebanyakan negara lain, bukanlah kesalahan yang sepatutnya diberikan perhatian oleh Interpol.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

