Pasport Tamim Dahri dibatalkan, sebutan semula kes 19 Julai - Polis

Tamim Dahri
Tamim Dahri
A
A
A

ALOR SETAR – Pasport aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak telah dibatalkan bagi membantu usaha membawa pulang lelaki itu ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan berkaitan kes didakwa merosakkan objek suci agama Hindu di Langkawi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, permohonan pembatalan pasport kepada Jabatan Imigresen Malaysia telah diluluskan pada 9 Julai lalu, manakala permohonan Notis Merah (Red Notice) kepada Polis Antarabangsa (Interpol) masih dalam tindakan.

Menurutnya, tarikh baharu sebutan semula kes terhadap Tamim Dahri di Mahkamah Majistret Langkawi ditetapkan pada 19 Julai ini.

"Tamim Dahri telah disenaraikan sebagai orang dikehendaki bagi membantu siasatan selepas gagal dikesan dan hasil semakan mendapati dia telah meninggalkan negara sejurus selepas kejadian.

"Dalam usaha mengesannya untuk dibawa ke muka pengadilan, polis telah mengemukakan permohonan Red Notice kepada Interpol dan permohonan itu masih dalam tindakan," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Beliau berkata, Tamim Dahri sebelum ini didakwa secara in absentia di Mahkamah Majistret Langkawi pada 17 Mac lalu mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan selepas gagal hadir ke mahkamah.

Menurutnya, semasa sebutan semula kes pada 17 Mei lalu, tertuduh sekali lagi gagal hadir menyebabkan mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Adzli menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan dan menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa serta badan kehakiman untuk menjalankan proses undang-undang.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan memaklumkan Polis mengemukakan permohonan kepada Interpol pada 8 Jun lalu bagi mengeluarkan Notis Merah terhadap Tamim Dahri yang dipercayai berada di luar negara.

Artikel Berkaitan:

Pada prosiding 17 Mac lalu, pihak pendakwaan memaklumkan Tamim Dahri dipercayai meninggalkan Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam menuju ke Thailand pada 9 Mac sebelum berlepas ke Riyadh, Arab Saudi menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok.

Tamim Dahri berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan simbol suci penganut Hindu di tapak lama sebuah kuil di Langkawi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!