Kendali media sosial rasmi secara profesional

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kesal apabila saluran rasmi media sosial milik agensi kerajaan disalahguna untuk perkara berunsur politik kepartian.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, tindakan itu tidak wajar terutama ketika negara kini berhadapan dengan isu keselamatan serius iaitu penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, medium rasmi kerajaan sepatutnya menjadi pusat penyampaian kepada usaha atau kejayaan yang dilaksanakan kerajaan tanpa menimbulkan perbalahan melibatkan ideologi politik.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku ketika penjawat awam terutama petugas barisan hadapan mengorbankan sepenuh jiwa raga dan masa untuk berkhidmat demi negara dan rakyat.

"Cuepacs menasihatkan semua pihak supaya menggunakan medium atau saluran rasmi kerajaan seperti secara profesional dan mengelakkan penyampaian berbentuk kepentingan berkait unsur politik kepartian.

"Setiap pegawai yang dilantik atau mempunyai akses terhadap penggunaan medium komunikasi rasmi kerajaan perlu kekal berkecuali dan profesional dalam menyampaikan mesej kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Cuepacs bimbang kepercayaan rakyat terhadap penjawat awam akan terhakis jika medium tersebut tidak dikendalikan dengan semangat profesionalisme yang tinggi.

Sebagai penjawat awam menurutnya, perlu sentiasa berikrar menjalankan amanah dengan sifat yang neutral dan tidak berunsur politik demi agama, bangsa dan negara.

Artikel Berkaitan:

"Mantera 'Berkhidmat Untuk Negara' adalah pegangan penjawat awam dalam melaksanakan tugas.

"Marilah kita bersama menjayakan aspirasi negara demi masa depan yang lebih cemerlang," katanya.