Tabung Haji kini lebih kukuh berbanding tahun 2018

TH kini berada dalam keadaan yang jauh lebih kukuh berbanding tahun 2018 hasil usaha pemulihan yang dilaksanakan lebih lapan tahun lalu.
TH kini berada dalam keadaan yang jauh lebih kukuh berbanding tahun 2018 hasil usaha pemulihan yang dilaksanakan lebih lapan tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM – Lembaga Tabung Haji (TH) kini berada dalam keadaan yang jauh lebih kukuh berbanding tahun 2018 hasil usaha pemulihan yang dilaksanakan lebih lapan tahun lalu.

TH dalam satu kenyataan berkata, perkara itu dapat dilihat melalui kejayaannya mengekalkan kos haji selama tiga tahun berturut-turut bagi tempoh 2024 hingga 2026 serta mengumumkan agihan keuntungan tertinggi dalam tempoh lapan tahun bagi tahun kewangan 2025.

Menurutnya, tindakan pemulihan yang diambil pada tahun 2018 merupakan keputusan strategik untuk melindungi simpanan pendeposit dan memastikan kemampanan kewangan TH.

“Sejak tahun 2018, pihak pengurusan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh lembaran imbangan (balance sheet) dan meningkatkan daya tahan TH.

“Sebelum ini, jurang antara aset dan liabiliti yang dikenal pasti pada tahun 2017 terus meningkat pada tahun 2018 sehingga mencecah kira-kira RM10 bilion.

“Sekiranya keadaan ini tidak ditangani sebelum berakhir tahun 2018, TH berkemungkinan besar tidak dapat memenuhi syarat di bawah Akta Tabung Haji untuk mengisytiharkan agihan keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah TH, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pembersihan dan rasionalisasi portfolio pelaburan, memperkukuh tadbir urus dan pengurusan risiko, pelaksanaan strategi pelaburan yang lebih berhemah dan mampan serta meningkatkan kecekapan operasi dan pengurusan kos.

Jelasnya, pada masa itu, TH hanya mempunyai tempoh kira-kira tiga bulan untuk melaksanakan pelan penstrukturan semula sebelum berakhirnya tahun kewangan 2018.

“Penyelesaian yang diambil telah dinilai dengan teliti serta memenuhi dua kriteria utama iaitu praktikal dan boleh dilaksanakan dalam tempoh yang singkat serta berupaya memulihkan kedudukan kewangan TH secara serta-merta.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, keputusan yang diambil pada akhir tahun 2018 adalah yang terbaik pada ketika itu bagi menangani isu kedudukan kewangan TH.

“Setelah mengambil kira kekangan masa, implikasi kewangan dan kepentingan pendeposit, kerajaan telah memutuskan bahawa kaedah terbaik ialah melalui pengambilalihan aset tertentu yang kurang berdaya maju,” ujarnya.

TH berkata, secara keseluruhannya pelan penstrukturan semula yang dilaksanakan pada tahun 2018 telah menjadi asas penting kepada transformasi dan pengukuhan prestasinya sehingga hari ini.

“Kita dapat lihat kedudukan kewangan TH kembali memenuhi syarat aset melebihi liabiliti serta terus dapat mengisytiharkan agihan keuntungan yang stabil dan mampan kepada lebih sembilan juta pendeposit.

“Selain itu, kadar Agihan Keuntungan meningkat dengan ketara daripada 1.25 peratus bagi tahun kewangan 2018 kepada 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025, manakala kedudukan lembaran imbangan (balance sheet) TH menjadi lebih kukuh dan berdaya tahan,” katanya.

Mengulas lanjut, TH berkata, pihaknya juga berjaya mengekalkan mandat dalam mengurus simpanan umat Islam serta konsisten menyampaikan perkhidmatan haji bertaraf dunia.

“TH terus menerima pengiktirafan antarabangsa tertinggi bagi pengurusan operasi haji dan perkhidmatan kepada jemaah haji Malaysia,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!