Malaysia bakal miliki pangkalan data pelarian lebih lengkap hujung tahun ini

CYBERJAYA – [DIKEMAS KINI] Malaysia dijangka mempunyai pangkalan data pelarian yang lebih lengkap, terperinci dan kredibel menjelang penghujung tahun ini menerusi pelaksanaan Projek Dokumen Pendaftaran Pelarian yang sedang diterajui Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Berucap di Sambutan Hari Imigresen ke -104, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, inisiatif yang dilaksanakan melalui Jabatan Imigresen Malaysia itu akan membolehkan kerajaan memperoleh maklumat lebih menyeluruh mengenai golongan pelarian yang berada di negara ini.
Menurutnya, meskipun Malaysia bukan negara penandatangan Konvensyen Pelarian 1951, kerajaan tetap mengambil pendekatan tersusun dalam menguruskan isu berkenaan.
"KDN hari ini melalui agensi Jabatan Imigresen (JIM) menerajui satu projek yang kita namakan Dokumen Pendaftaran Pelarian. Kita sedang mulakan dan insya-ALLAH hasilnya akan kita dapat sebelum tamat tahun ini.
"Kita akan mempunyai sejumlah data yang lebih kredibel, data granular dan data yang lebih lengkap yang mengandungi semua maklumat tentang pelarian yang berjaya kita daftarkan," katanya di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, JIM bukan sahaja bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang imigresen, malah turut memikul amanah moral untuk memastikan setiap tindakan dilaksanakan dengan penuh ihsan dan nilai kemanusiaan.
Beliau berkata, pendekatan itu diterjemahkan menerusi penubuhan enam Baitul Mahabbah yang menyediakan perlindungan kepada hampir 700 kanak-kanak warga asing berusia 10 tahun ke bawah yang ditinggalkan ibu bapa ketika operasi penguatkuasaan dijalankan.
Menurutnya, kanak-kanak terbabit tidak ditempatkan bersama tahanan lain, sebaliknya dipelihara di premis yang lebih kondusif serta dijaga pegawai Jabatan Imigresen.
"Kita mulakan ini pada 2023 dengan Baitul Mahabbah yang pertama dan hari ini kita telah wujudkan enam Baitul Mahabbah yang memberi perlindungan kepada hampir 700 kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah.
"Kita buat kerana kita tahu tanggungjawab moral dan tanggungjawab kemanusiaan. Kita mengasuh mereka, kita jaga mereka," jelas beliau.
Pada 11 Jun lalu, KDN memaklumkan JIM sedang melaksanakan proses Pendaftaran dan Penentuan Status Pelarian (DPP) di Semenanjung Malaysia bagi mendapatkan data lengkap jumlah sebenar kumpulan itu serta pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) di negara ini.
Jelas kementerian itu, kerajaan ketika ini tidak mempunyai data menyeluruh mengenai jumlah sebenar, identiti serta latar belakang individu yang berada di dalam negara atas kapasiti tersebut, meskipun berhadapan dengan kehadiran kedua-dua kumpulan tersebut sejak berpuluh tahun.
Pada masa sama, Saifuddin menegaskan JIM akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi mempertahankan kedaulatan undang-undang negara.
Katanya, sepanjang 2025 hingga Jun lalu, lebih 130,000 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan imigresen direkodkan, manakala lebih 92,000 warga asing dihantar pulang ke negara asal.
"Saya percaya Imigresen akan terus melaksanakan penguatkuasaan tanpa kompromi dan kerajaan akan terus memberi sokongan termasuk dalam perolehan aset strategik bagi membantu jabatan ini," ujar Saifuddin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

