Amanah kini berada di persimpangan - Mat Sabu

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) mempersoalkan masa depan Kerajaan Perpaduan susulan keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, BN Johor mengumumkan akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebaik sahaja DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu.
Menurutnya, perkembangan di Negeri Sembilan turut mencetuskan persoalan apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, sekali gus membuka ruang kepada kemungkinan kerjasama dengan ADUN pembangkang, termasuk Pas, bagi mengambil alih kerajaan negeri.
Katanya, menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) semakin jelas apabila kedua-duanya saling melengkapi agihan 36 kerusi DUN yang akan dipertandingkan, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada Kerajaan Perpaduan akan terus dipelihara atau sebaliknya.
"Saya yang mendukung Kerajaan Perpaduan dan Parti Amanah Negara yang berdiri teguh dalam membentuk kerajaan ini, kini berada di persimpangan.
"Apakah Kerajaan Perpaduan ini akan terus dipelihara ataupun yang sebaliknya akan berlaku?" katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Mohamad berkata, selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022, tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Beliau mengakui tidak pernah menyangka BN yang sekian lama menjadi musuh politik Pakatan Harapan (PH) akhirnya bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan.
Beliau turut mengakui pada peringkat awal tertanya-tanya bagaimana untuk bekerjasama dengan UMNO memandangkan beliau sendiri pernah berada dalam Pas, namun perubahan pemikiran dan tindakan perlu dilakukan.
"Ujian pertama kerjasama itu berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram susulan pemergian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub," katanya.
Katanya lagi, beliau kagum dengan kerjasama yang ditunjukkan UMNO dan BN apabila semua pihak berkempen, makan dan bergerak bersama bagi memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan serta Kerajaan Perpaduan di Simpang Jeram dan Pulai.
Beliau berkata, hubungan itu terus diperkukuh dalam beberapa siri PRK selepas itu, termasuk di Pelangai apabila PH bersama-sama membantu memenangkan calon UMNO dan BN.
"Kerjasama sama turut diteruskan pada PRK Kuala Kubu Baharu apabila buat pertama kali pemimpin UMNO dan BN turun membantu memenangkan calon DAP, diikuti PRK Sungai Bakap yang menyaksikan kerjasama Kerajaan Perpaduan kekal utuh meskipun tewas," katanya.
Katanya, pada PRK Nenggiri pula, PH bertungkus-lumus membantu kemenangan calon UMNO dan BN sehingga kerusi itu berjaya dirampas untuk Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, situasi sama berlaku pada PRK Mahkota apabila perselisihan awal mengenai parti yang akan bertanding berjaya diselesaikan sebelum PH bekerja keras membantu kemenangan calon UMNO dan BN dengan majoriti besar.
Menurutnya, kerjasama itu diteruskan pada PRK Ayer Kuning apabila PH sekali lagi berganding bahu dengan BN bagi memastikan kemenangan calon UMNO dan BN.
"Begitulah eratnya perpaduan yang telah dibentuk. Walaupun dahulunya kita bermusuhan, apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan, kita saling membantu.
"Tetapi kini, persoalannya, adakah era itu akan tinggal sebagai sejarah apabila Barisan Nasional Johor mengisytiharkan mahu bergerak bersendirian," soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

