Mayat lelaki dengan kesan tikaman ditemui tepi jalan - Polis

KAJANG - Satu mayat lelaki ditemui dengan kesan tikaman di tepi jalan di kawasan perumahan di Bandar Mahkota Cheras di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan penemuan itu diterima pihaknya pada jam 8.40 pagi.
Menurutnya, sepasukan pegawai polis telah bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 30-an tanpa sebarang identiti dan pengenalan diri telah meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pemeriksaan awal bersama pasukan forensik mendapati terdapat kesan kecederaan yang dipercayai akibat senjata tajam pada tubuh mangsa.
"Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pegawai Perubatan Hospital Kajang mendapati punca kematian mangsa ialah akibat pendarahan di bahagian abdomen yang berpunca daripada kecederaan tikaman," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk mengenal pasti identiti mangsa, mengesan saksi-saksi serta individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Ong Eng Yew di talian 012-696 6849 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
