Isu eFishery : KWAP tidak bankrap, pencen penjawat awam terjamin- Tengku Zafrul

SHAH ALAM - Kes penipuan syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery tidak memberi kesan besar terhadap kewangan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) atau kemampuannya membantu kerajaan menanggung kos pencen penjawat awam.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tanggungjawab kerajaan untuk membayar pencen tetap tidak berubah.
Menurutnya, pada 2024 iaitu tahun terakhir yang diaudit, KWAP menjana sekitar RM18 bilion pendapatan pelaburan.
ARTIKEL BERKAITAN: Anwar jawab isu kerugian pelaburan RM200 juta KWAP dalam eFishery di Dewan Negara esok
Isu eFishery: Pempengaruh ajak rakyat tuntut ketelusan, pemulihan aset
Dana KWAP RM200 juta lesap: Perkasa desak Menteri Kewangan letak jawatan
"Keseluruhan pelaburan eFishery itu kurang satu peratus daripada pendapatan pelaburan KWAP pada tahun tersebut.
"Jadi berdasarkan angka 2025 pula, keseluruhan dana bernilai RM195 bilion. Pelaburan eFishery itu kurang 0.1 peratus daripada keseluruhan dana KWAP.
"Jadi kononnya, KWAP dah hampir bankrap dan pencen pejabat awam tak dapat dibayar, itu bukan fakta tapi auta," katanya menerusi laman Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis dilapor berkata, KWAP diperdayakan menerusi penipuan terancang dan manipulasi laporan kewangan sehingga menyalurkan kira-kira RM200 juta kepada syarikat pemula akuakultur di Indonesia dikenali sebagai eFishery.
Menurutnya, keputusan pelaburan dalam eFishery oleh KWAP dibuat melalui proses penilaian dan proses tadbir urus, berdasarkan maklumat tersedia yang merangkumi pengesahan penyata kewangan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah.
Tambah Tengku Zafrul, KWAP bukan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Jelasnya, penjawat awam tidak mempunyai akaun simpanan individu dalam KWAP yang akan berkurang apabila satu pelaburan rugi.
"Jadi, tak tepat kalau nak kata keseluruhan pelaburan itu sudah hangus. Begitu juga dengan angka RM200 juta itu tidak betul dan berdasarkan penjelasan rasmi KWAP, jumlah sebenar yang dilaburkan ialah RM163 juta.
"KWAP tak masuk melabur seorang ini, cuma pegang 2.51 peratus saham yang pelabur yang minoriti. Majoriti pegang-pegang pelabur lain.
"Tapi jangan salah faham, RM163 juta tetap wang awam. Kecil berbanding keseluruhan dana bukan bermakna ia boleh dilupakan, setiap sen yang boleh didapatkan semula mesti dikejar,"ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

