Dana KWAP RM200 juta lesap: Perkasa desak Menteri Kewangan letak jawatan

CYBERJAYA - Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dituntut meletak jawatan serta-merta demi prinsip akauntabiliti di bawah payung Kerajaan Madani setelah dana penjawat awam, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bocor sebanyak RM200 juta di bawah pengawasan kementerian beliau.
Pemangku Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Borhan Ahmad Zakaria berkata, demi memulihkan keyakinan pasaran, menjaga maruah integriti negara dan menunjukkan teladan kepimpinan yang bermoral, Menteri Kewangan wajib meletakkan jawatan serta merta.
Beliau berkata, tugas menguruskan khazanah kewangan negara memerlukan fokus penuh daripada seorang menteri yang tidak berbelah bahagi komitmennya dengan tugasan harian sebagai Perdana Menteri.
"Perkasa juga menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan tindakan jenayah kewangan dilakukan. Kami tidak mahu siasatan dalaman yang sekadar menuding jari atau memindahkan pegawai-pegawai cuai ke jabatan lain," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Kelmarin Anwar dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat menyatakan, KWAP menjadi mangsa sebuah syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery, susulan syarikat itu memanipulasi laporan kewangan bagi menarik pelaburan.
Anwar berkata, keputusan pelaburan eFishery dibuat melalui proses penilaian dan proses tadbir urus berdasarkan maklumat tersedia yang merangkumi pengesahan penyata kewangan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah.
Sehubungan dengan itu Borhan berkata, pihaknya mendesak tindakan-tindakan drastik seperti penubuhan RCI tersebut diadakan mencakupi siasatan menyeluruh dan telus ke atas semua pelaburan berisiko tinggi (venture capital dan startup) luar negara yang dilakukan oleh KWAP, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memastikan tiada lagi "lubang hitam" yang menyedut wang rakyat.
"Pembekuan dan sitaan aset serta-merta perlu dilakukan. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mesti menyiasat semua ahli Lembaga Pengarah dan Panel Pelaburan KWAP yang terlibat dalam kelulusan dana eFishery pada Julai 2023. Jika terbukti ada elemen rasuah, salah guna kuasa atau pemalsuan dokumen, mereka mesti diheret ke mahkamah dan dipenjarakan.
"Senarai hitamkan firma audit luar iaitu firma penasihat atau juruaudit bebas yang memberikan lampu hijau dan mengesahkan laporan kewangan palsu eFishery sehingga KWAP kerugian. Syarikat-syarikat itu mesti disenaraihitamkan daripada menerima sebarang kontrak rundingan daripada kerajaan Malaysia selama-lamanya," katanya.
Jelasnya lagi, di bawah prinsip akauntabiliti, menteri dan pengurusan tertinggi tidak boleh bersembunyi di sebalik frasa "kami ditipu" kerana wang RM200 juta itu bukan wang simpanan peribadi mereka tetapi dana masa depan pesara kerajaan.
Tambahnya lagi, kegagalan mengesan manipulasi penyata kewangan bernilai ratusan juta dolar membuktikan wujudnya kelonggaran sistemik, ketirisan maklumat atau kemungkinan wujudnya elemen rasuah dan "pakat-dalam" yang membenarkan dana ini keluar dengan begitu mudah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
