Enam calon PKR kalah pemilihan parti - Penganalisis

SHAH ALAM - Sekurang-kurangnya enam calon PKR yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pernah tewas dalam pemilihan parti 2025 di peringkat cabang masing-masing, kata seorang penganalisis politik.
Muhammad Afifi Abdul Razak berkata, walaupun kekalahan dalam pemilihan parti tidak semestinya bermaksud seseorang itu tidak layak menjadi calon tetapi PKR perlu menjelaskan rasional calon itu dipilih bertanding dalam PRN.
Katanya, perlu dijelaskan apakah pemilihan parti sekadar pertandingan organisasi tanpa kaitan dengan penentuan calon atau apakah calon dipilih berdasarkan kekuatan akar umbi atau kerana hubungan dengan kelompok kepimpinan tertentu.
"Persoalan ini penting kerana jentera parti ialah tulang belakang kempen. Individu yang memenangi pemilihan cabang lazimnya mempunyai rangkaian anggota, pengaruh tempatan dan kemampuan menggerakkan sukarelawan.
"Apabila mereka diketepikan dan calon yang mereka kalahkan pula tidak dipilih, penyokong mungkin menjadi pasif, memboikot secara senyap atau sekadar menjalankan kempen secara minimum," katanya.
Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas, Siti Aishah Seman @ Othman kalah dalam pertandingan Ketua Cabang Tampin dengan memperoleh 41.52 peratus undi.
Calon DUN Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim tewas dalam pertandingan Ketua Cabang Seremban dengan 47.91 peratus undi manakala calon DUN Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak hanya memperoleh 35.10 peratus dalam pertandingan Ketua Cabang Rasah.
Di Kuala Pilah pula, Mohd Aidil Abdullah tewas dalam pertandingan Ketua Cabang dengan 46.04 peratus undi, Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa kalah dalam pertandingan Timbalan Ketua Cabang dengan 36.49 peratus manakala Datuk Nur Zunita Begum Mohd Ibrahim memperoleh hanya 37.05 peratus dalam pertandingan Ketua Wanita Cabang.
Muhammad Afifi berkata, pemilihan dalaman dan pilihan raya umum mempunyai corak pengundi yang berbeza kerana ada calon yang mungkin kurang kuat dalam kalangan anggota parti tetapi lebih diterima masyarakat umum.
Walaupun begitu, katanya, apabila terlalu ramai individu yang gagal mendapat mandat anggota sendiri diberikan tiket pilihan raya, ia menimbulkan persoalan mengenai ketekalan PKR dalam menghormati proses demokrasi dalaman.
"Pilihan raya tidak hanya dimenangi melalui nama besar atau arahan kepimpinan pusat. Ia dimenangi melalui penerimaan pengundi, kesatuan jentera dan keyakinan anggota bahawa suara mereka dihormati.
"Dalam ketiga-tiga perkara ini, keputusan PKR kali ini meninggalkan terlalu banyak persoalan," kata pensyarah kanan itu lagi.
Pada masa sama, beliau mempersoalkan percaturan PKR meletakkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bertanding di DUN Linggi, manakala kerusi Sikamat diserahkan kepada Nor Azman Mohamad.
"Persoalan yang lebih besar ialah mengapa PKR sanggup melepaskan kerusi yang telah terbukti selamat untuk menteri besarnya lalu menempatkan beliau di kerusi milik BN yang kedudukannya lebih tidak menentu," katanya.
Beliau berkata, jika Aminuddin tewas di Linggi, kesannya bukan sahaja kehilangan satu kerusi malah akan memberikan gambaran bahawa pengundi menolak kepimpinannya, sekali gus melemahkan naratif keberhasilan pentadbiran negeri yang cuba dibawa oleh Pakatan Harapan (PH).
Katanya, parti sepatutnya mengurangkan risiko dalaman, bukannya menambahnya melalui pertukaran kerusi menteri besar dan pemilihan calon yang boleh mencetuskan rasa tidak puas hati anggota.
"Sekiranya PKR gagal mengekalkan Sikamat dan kehilangan beberapa kerusi marginal akibat jentera yang tidak bersatu, pertukaran ini akan dikenang bukan sebagai langkah berani, tetapi sebagai kesilapan percaturan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
