Onn Hafiz bawa formula kemenangan besar BN Johor ke Negeri Sembilan

Onn Hafiz ketika berucap pada Program Perjumpaan Jentera PRN Negeri Sembilan dan Pelancaran Gerak Gempur Barisan Nasional Tampin di Dataran Kampung Tengah, Gemencheh, Tampin Ahad.
Onn Hafiz ketika berucap pada Program Perjumpaan Jentera PRN Negeri Sembilan dan Pelancaran Gerak Gempur Barisan Nasional Tampin di Dataran Kampung Tengah, Gemencheh, Tampin Ahad.
A
A
A

TAMPIN – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yakin Barisan Nasional (BN) mampu mencipta kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sekiranya seluruh jentera mengekalkan semangat kerja berpasukan seperti yang dipraktikkan di Johor.

Beliau berkata, kejayaan besar BN di Johor sebelum ini bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil kerjasama erat semua parti komponen termasuk UMNO, MCA, MIC serta rakan-rakan Friends of BN.

"Kita menangkan BN di Negeri Sembilan, insya-ALLAH. Saya tengok semangat jentera semua cukup baik dan saya akan bantu sedaya upaya.

"Rahsia kemenangan kita di Johor yang pertama iadalah gerak kerja berpasukan. Semua bergerak dalam satu saf tanpa mengira parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perjumpaan Jentera PRN Negeri Sembilan dan Pelancaran Gerak Gempur Barisan Nasional Tampin di Dataran Kampung Tengah, Gemencheh di sini pada Ahad.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa dan dua calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar serta DUN Repah, Koh Kim Swee.

Menurut Onn Hafiz lagi, faktor kedua yang menyumbang kepada kemenangan BN di Johor ialah keupayaan jentera mematahkan pelbagai fitnah, tohmahan serta janji-janji tidak realistik yang dimainkan pihak lawan sepanjang kempen.

Antara penyokong BN yang hadir dalam Program Perjumpaan Jentera PRN Negeri Sembilan dan Pelancaran Gerak Gempur Barisan Nasional Tampin di Dataran Kampung Tengah, Gemencheh, Tampin pada Ahad.
Antara penyokong BN yang hadir dalam Program Perjumpaan Jentera PRN Negeri Sembilan dan Pelancaran Gerak Gempur Barisan Nasional Tampin di Dataran Kampung Tengah, Gemencheh, Tampin pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pendekatan itu perlu diteruskan oleh seluruh jentera BN di Negeri Sembilan bagi memastikan keyakinan rakyat terus memihak kepada gabungan berkenaan.

"Misi kita bukan untuk berbangga atau takbur dengan kemenangan di Johor, tetapi mahu berkongsi pengalaman supaya BN di Negeri Sembilan turut mencapai keputusan yang lebih baik.

"Kalau dahulu kita boleh menang dengan majoriti kecil, hari ini kita buktikan kita mampu menang dengan majoriti yang lebih besar," katanya.

Beliau turut menyifatkan semangat jentera BN Negeri Sembilan ketika ini cukup positif dan percaya ia mampu diterjemahkan kepada kemenangan sekiranya semua pihak terus bekerja sebagai satu pasukan.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, kehadiran sukarelawan dan anak-anak muda dari Johor ke Parlimen Tampin adalah sebagai tanda solidariti untuk membantu kempen BN.

"Budak-budak Johor nak sokong budak-budak Negeri Sembilan. Kita datang untuk membantu dan memastikan kemenangan BN," katanya yang disambut laungan "Hidup BN" dan "Hoben BN" daripada penyokong yang hadir.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!