PRN Negeri Sembilan dijangka catat peratus keluar mengundi lebih tinggi - Abdul Aziz

Abdul Aziz
Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Peratus keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijadual 1 Ogos depan dijangka lebih tinggi berbanding PRN Johor berdasarkan corak pengundi di kedua-dua negeri itu.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, situasi di Negeri Sembilan berbeza dengan Johor yang mempunyai ramai pengundi berdaftar bekerja di Singapura sehingga memberi kesan kepada kadar keluar mengundi.

"Di Johor baru-baru ini ramai pengundi berdaftar bekerja di Singapura, tetapi di Negeri Sembilan, setakat yang saya maklum tidaklah begitu ramai pengundi bekerja di Singapura atau di tempat lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Hi-Tea Hari Pesara Kelab Pesara Muslimah Selangor (KPMS) 2026 di Dewan Bunga Tanjung, Kelab Shah Alam, di sini pada Ahad.

Mengulas mengenai pengundi muda, Abdul Aziz berkata, golongan berusia 18 tahun ke atas yang didaftarkan secara automatik sebagai pengundi berpotensi mempengaruhi keputusan pilihan raya.

Katanya, kumpulan itu mempunyai cara pemikiran serta pendedahan kepada maklumat berbeza berbanding pengundi tradisional.

"Parti-parti politik perlu mengalu-alukan dan menggalakkan pengundi muda keluar mengundi kerana mereka boleh menentukan corak kepimpinan yang hendak dipilih.

Beliau turut mengingatkan semua parti politik supaya memanfaatkan tempoh berkempen untuk meyakinkan pengundi melalui hujah dan tawaran realistik serta mampu dilaksanakan jika diberi mandat.

Dalam pada itu, katanya, undang-undang pilihan raya sedia ada masih mampu menangani cabaran kempen politik menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan platform digital.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, setakat ini tidak melihat wujud masalah besar kerana sudah terdapat garis panduan menetapkan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang tempoh berkempen.

"Setakat ini saya tak nampak masalah, kita dah tentukan sedikit sebanyak garis panduan mengenai perkara-perkara yang tidak boleh disebut dan sebagainya," ujar beliau.

Bagaimanapun, Abdul Aziz mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan bijak menilai setiap maklumat yang diterima melalui media sosial atau platform digital.

Katanya, pengundi tidak seharusnya menerima sepenuhnya setiap kandungan yang disebarkan kerana ada kemungkinan maklumat itu tidak tepat atau sengaja diwujudkan untuk mempengaruhi persepsi.

"Bagi mereka yang melihat dan mendengar, kena bijaksana menentukan sama ada perkara yang disebut itu betul ataupun tidak sebelum mengubah persepsi masing-masing," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!