BN-PN pertaruh segalanya demi kuasa di Negeri Sembilan

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menjadi medan pertaruhan besar buat Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) apabila kedua-dua gabungan membentuk kesefahaman politik bagi menghadapi Pakatan Harapan (PH).
Percaturan itu membawa misi jelas untuk memastikan pentadbiran negeri terus diterajui kepimpinan Melayu-Islam, sekali gus menyekat kemaraan PH yang kini menjadi pesaing utama dalam perebutan kuasa di Negeri Sembilan.
Kerjasama BN-PN kali ini menguji kemampuan dua gabungan yang sebelum ini menjadi seteru untuk mengetepikan perbezaan politik demi mencapai matlamat bersama.
Ia bukan sekadar persefahaman pilihan raya, tetapi pertaruhan besar terhadap masa depan jajaran politik baharu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, hubungan terbaharu itu bukan sekadar 'perkahwinan politik' antara UMNO dan Pas, sebaliknya berasaskan semangat persahabatan serta persaudaraan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan sebarang bentuk hubungan lebih rasmi antara kedua-dua gabungan masih bergantung kepada perkembangan politik semasa dan penerimaan di peringkat akar umbi.
Buat masa ini, fokus utama BN dan PN adalah mengelakkan pertembungan sesama sendiri bagi memastikan undi tidak berpecah serta meningkatkan peluang kemenangan di kawasan yang ditandingi.
Formula itu sebenarnya mempunyai latar belakang daripada PRN Johor apabila Pas mengarahkan ahlinya membantu calon BN di kawasan yang tidak ditandingi PN.
Namun, pengalaman Johor menjadi cabaran besar buat Pas apabila parti itu tewas di semua kerusi yang ditandingi. Sebaliknya, BN mencatat kemenangan besar dengan menguasai 48 daripada 56 kerusi DUN.
Kegagalan di Johor tidak mematahkan usaha membentuk jajaran baharu di Negeri Sembilan apabila pengagihan 11 kerusi akhirnya dimuktamadkan untuk ditandingi PN tanpa penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Melalui formula itu, BN akan bertanding di 25 kerusi manakala PN mengisi 11 kerusi bagi melengkapkan keseluruhan 36 kerusi DUN.
Percaturan tanpa pertembungan itu kini menjadi taruhan utama kedua-dua gabungan.
Jika berjaya menewaskan PH, formula BN-PN berpotensi menjadi model kerjasama lebih besar pada masa depan.
Namun, kegagalan pula boleh memberi tamparan terhadap kekuatan jajaran politik baharu itu.
Di sebalik kesepakatan tersebut, PN masih berdepan isu dalaman susulan dakwaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan gabungan itu kini menjadi 'toksik' kerana didakwa tersasar daripada perjuangan asal.
Dakwaan itu bagaimanapun ditolak Abdul Hadi yang menyifatkannya tidak benar.
Beliau berkata, masalah yang berlaku berpunca daripada sikap ahli Bersatu sendiri dalam kerjasama PN.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan jajaran BN-PN dibentuk demi kestabilan politik Negeri Sembilan dengan sasaran memenangi keseluruhan 36 kerusi DUN.
Beliau turut mengingatkan jentera supaya berkempen secara berhemah dengan menawarkan agenda terbaik kepada rakyat, selain mengakui realiti Negeri Sembilan sebagai negeri berbilang kaum dan agama.
Di lapangan, DUN Palong, Jeram Padang dan Bahau menjadi antara kawasan yang menyaksikan persaingan sengit melibatkan calon BN, PH dan PN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

