Nilai keikhlasan kerjasama BN-Pas, bukan terikut sentimen kaum, agama - Dr Sathia

Dr Sathia menyarankan pengundi di Negeri Sembilan menilai keikhlasan kerjasama antara BN dan Pas berdasarkan rekod pentadbiran, prinsip dan hala tuju gabungan itu.
Dr Sathia menyarankan pengundi di Negeri Sembilan menilai keikhlasan kerjasama antara BN dan Pas berdasarkan rekod pentadbiran, prinsip dan hala tuju gabungan itu.
A
A
A

SHAH ALAM – Pengundi di Negeri Sembilan disaran menilai keikhlasan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pas berdasarkan rekod pentadbiran, prinsip dan hala tuju gabungan itu, bukannya dipengaruhi sentimen kaum serta agama semata-mata.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, kerjasama politik perlu diasaskan kepada komitmen terhadap kepentingan rakyat serta tadbir urus yang baik, bukannya sekadar strategi meraih kuasa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurutnya, rakyat berhak mempersoalkan asas kerjasama antara kedua-dua parti yang sebelum ini pernah mempunyai perbezaan pendirian politik yang ketara.

"Kerjasama politik bukan sekadar soal memenangi pilihan raya, sebaliknya membabitkan hala tuju negara, kestabilan pentadbiran dan keyakinan rakyat terhadap prinsip yang dibawa sesebuah gabungan.

"Apabila parti yang sebelum ini saling mengkritik akhirnya memilih untuk bekerjasama, rakyat berhak bertanya sama ada ia benar-benar demi kepentingan rakyat atau sekadar strategi politik untuk mendapatkan kuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, rakyat juga tidak seharusnya melupakan pengalaman ketika BN dan Pas pernah berada dalam kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurutnya, pentadbiran BN-Pas di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikaitkan dengan ketidakstabilan politik, pertukaran kerajaan serta cabaran terhadap keyakinan pelabur.

Tambah beliau, perubahan pendirian sesetengah pemimpin mengenai kerjasama politik turut menimbulkan persoalan sama ada prinsip yang diperjuangkan benar-benar kekal atau berubah mengikut keperluan politik semasa.

"Jika dahulu terdapat perbezaan besar antara kedua-dua parti, rakyat berhak mengetahui asas perubahan itu dan apakah jaminan bahawa kepentingan rakyat akan terus menjadi keutamaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dr Sathia berkata, politik matang tidak menghalang mana-mana parti daripada menjalinkan kerjasama, namun ia perlu dibina atas dasar yang telus, jujur dan bertanggungjawab kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi Negeri Sembilan menilai keupayaan setiap gabungan berdasarkan rekod pentadbiran serta tawaran dasar yang dikemukakan, termasuk aspek ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

"Rakyat hari ini semakin matang. Mereka tidak lagi menilai berdasarkan slogan atau sentimen semata-mata, sebaliknya melihat kepada integriti, rekod serta kemampuan sesebuah gabungan mentadbir negeri dan negara.

"Rakyat mungkin lupa kata-kata ahli politik, tetapi mereka tidak akan melupakan rekod dan tindakan yang pernah ditunjukkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!