PRN Negeri Sembilan: PH tidak terpengaruh taktik lawan

SUNGAI PETANI - Pakatan Harapan tidak akan terpengaruh dengan strategi gabungan politik pihak lawan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebaliknya akan terus mengekalkan prestasi kepimpinan sedia ada.
Naib Ketua AMK Malaysia, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, PH akan terus mengganda usaha melonjakkan ekonomi dan kemakmuran di negeri sebagaimana dilakukan ketika ini.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan percaya, rakyat Negeri Sembilan mampu menilai dengan baik dalam membuat keputusan.
"Berkenaan dengan gabungan parti-parti politik yang lain, bagi kita PH, pendekatan kita adalah untuk menunjukkan politik prestasi dan tidak mahu ikut campur dengan sebarang apa juga parti lain nak lakukan.
"Kita tetap fokus dan pendekatan untuk pilihan raya kali ini bukanlah untuk mencari salah ataupun nak menghentam parti lain dan sebagainya...Jadi fokus kita adalah untuk menunjukkan politik prestasi... berkenaan dengan parti lain, itu bukan hak saya untuk komen apa-apa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Madani Kita di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) menamakan calon bagi 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal bertanding di mana Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi bayangan baki 11 kerusi lagi akan diumumkan oleh rakan yang boleh dipercayai.
Bagaimanapun, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kemudian menyenaraikan 11 lagi calon yang bakal bertanding, sekali gus menjawab teka-teki persefahaman politik gabungan antara keduanya dan melengkapkan pengagihan keseluruhan 36 kerusi di DUN Negeri Sembilan.
Mohammed Taufiq menjelaskan, fokus PH ketika ini adalah mengekalkan prestasi baik sebagaimana dilakukan kerajaan negeri.
"Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun telahpun membuktikan kepada rakyat dan juga seluruh Negeri Sembilan bagaimana beliau bersama kepimpinan Exco telah mampu melonjakkan ekonomi negeri ke tahap lebih tinggi.
"Keutamaan kita adalah untuk tonjolkan bahawa segala apa juga prestasi yang telahpun dilakukan oleh kerajaan Negeri Sembilan, bawah Pakatan Harapan sebelum ini, kekal terus hebat, maju, dan InsyaALLAH akan diteruskan selepas pilihan raya negeri kali ini," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

