Jatuh jambatan: Mayat lelaki, kanak-kanak 2 tahun ditemui terapung

BAGAN DATUK – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Jambatan Sultan Nazrin Shah di sini berakhir apabila mayat dua mangsa yang hilang dalam dua kejadian berasingan ditemukan terapung di Sungai Perak pada Sabtu.
Mangsa pertama, Mohd Nor Ferdaus Mohd Mokhtar, 42, yang dipercayai terjatuh dari jambatan itu pada Jumaat ditemui sekitar jam 11.59 pagi, kira-kira tujuh kilometer (km) dari lokasi kejadian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, mayat lelaki ditemui anggota penyelamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Mangsa ditemui terapung oleh pasukan SAR dan dibawa naik untuk pengesahan daripada pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) bagi status kematian,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama, Sayani berkata, mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, Wong Long Hee, yang hilang selepas dipercayai terjatuh bersama ibunya di jambatan sama pada Jumaat, ditemukan sekitar jam 2 petang.
Katanya, mayat mangsa terakhir itu ditemui terapung kira-kira 10km dari lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Mangsa terakhir iaitu kanak-kanak lelaki berusia dua tahun telah ditemui oleh pasukan SAR sekitar jam 2 petang tadi dengan jarak kira-kira 10 kilometer dari jambatan.
“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis dan akan dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pada Jumaat, media melaporkan Mohd Nor Ferdaus dipercayai terjatuh dari Jambatan Sultan Nazrin Shah sekitar jam 11.36 pagi.
Dalam kejadian berasingan pada hari sama, seorang kanak-kanak berusia dua tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh bersama ibunya ke Sungai Perak sekitar jam 7.15 malam.
Ibu mangsa, Lim Li Yin, 38, ditemukan tidak lama selepas kejadian namun disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bagan Datuk sebelum dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

