JAS sahkan 19,000 enap cemar mengalir masuk ke sungai

IPOH – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap sebuah kilang minyak sawit di Kamunting susulan kejadian runtuhan tebing kolam pelupusan enap cemar yang mengalir ke kawasan lombong dan sungai berhampiran pada 5 Julai lalu.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, siasatan JAS mendapati runtuhan tebing itu dipercayai berpunca daripada kelemahan struktur benteng kolam berkenaan.
Menurutnya, pihak kilang menghentikan operasi serta-merta sebaik sahaja kejadian disedari dan melaksanakan kerja pembaikan benteng serta pembersihan kawasan yang terjejas.
"Anggaran pelepasan enap cemar adalah kira-kira 19,000 meter padu yang mengalir ke kawasan lombong berhampiran sebelum memasuki Sungai Petai.
"Semasa kejadian, keadaan cuaca adalah panas dan kering tanpa sebarang laporan hujan lebat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kok Lim berkata, pemantauan turut mendapati masih terdapat aliran air sisa dan enap cemar memasuki Sungai Petai susulan kerja pembersihan lombong yang tercemar.
Katanya, pihak premis diarahkan membina sekatan sementara bagi menghalang pengaliran keluar air sisa dan enap cemar ke sungai berkenaan selain menghantar laporan harian mengenai kerja-kerja pembersihan.
Menurut beliau, JAS turut menjalankan siasatan di Sungai Sepetang berhampiran Jeti Kampung Dew selepas menerima aduan terdapat ikan mati namun hanya beberapa ekor ikan ditemukan.
"Hasil ujian kualiti air secara in-situ di lokasi aduan menunjukkan bacaan masih dalam keadaan normal dengan suhu 29.4 darjah Celsius, oksigen terlarut 5.8 miligram seliter, pH 6.92 dan kekeruhan (NTU) 6.28," katanya.
Dalam pada itu, Kok Lim berkata, JAS telah mengeluarkan Arahan di Lapangan supaya premis menghentikan segera aliran enap cemar, membaiki benteng yang runtuh serta mengemukakan laporan kepada jabatan.
Selain itu katanya, tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) turut dilaksanakan pada panel kawalan sistem pengolahan efluen sawit bagi menghalang kemasukan efluen ke kolam pelupusan.
Jelasnya, JAS juga akan mengeluarkan notis arahan di bawah Seksyen 31(1)(g) dan Seksyen 37(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi kesalahan di bawah Seksyen 16 akta sama.
Katanya, jabatan itu juga mencadangkan penggantungan Lesen Premis Yang Ditetapkan (PYDT) Minyak Sawit Mentah mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pelesenan) 1977.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan lebih 100 nelayan di Kampung Dew di sini kehilangan punca pendapatan selepas insiden pencemaran Sungai Sepetang yang dipercayai berpunca daripada kebocoran kolam takungan sisa sebuah kilang kelapa sawit dua minggu lalu.
Wakil penduduk Kampung Dew, Shukor Ishak berkata, kejadian yang dikesan nelayan itu bukan sahaja menyebabkan aktiviti menangkap ikan terjejas malah turut mengancam industri ekopelancongan berasaskan kelip-kelip dan aktiviti memancing udang galah di kawasan berkenaan.
Menurutnya, siasatan yang dilakukan bersama ahli jawatankuasa komuniti mendapati berlaku kebocoran pada kolam takungan sisa kilang sehingga mengakibatkan cecair hitam pekat mengalir ke sungai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

