Nelayan hilang pendapatan RM200 sehari akibat pencemaran Sungai Sepetang

TAIPING - Lebih 100 nelayan di Kampung Dew di sini kehilangan punca pendapatan selepas insiden pencemaran Sungai Sepetang yang dipercayai berpunca daripada kebocoran kolam takungan sisa sebuah kilang kelapa sawit dua minggu lalu.
Wakil penduduk Kampung Dew, Shukor Ishak berkata, kejadian yang dikesan nelayan itu bukan sahaja menyebabkan aktiviti menangkap ikan terjejas malah turut mengancam industri ekopelancongan berasaskan kelip-kelip dan aktiviti memancing udang galah di kawasan berkenaan.
Menurutnya, siasatan yang dilakukan bersama ahli jawatankuasa komuniti mendapati berlaku kebocoran pada kolam takungan sisa kilang sehingga mengakibatkan cecair hitam pekat mengalir ke sungai.
"Kami dapati air sungai bertukar hitam dan keadaan itu menjejaskan mata pencarian nelayan. Kami juga bimbang jika perkara sama berulang, industri pelancongan kelip-kelip serta aktiviti memancing udang galah akan turut menerima kesan.
"Kejadian pencemaran ini bukanlah pertama kali berlaku malah tahun ini sahaja sudah tiga kali," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Jeti Kelip-kelip Kampung Dew di sini pada Jumaat.

Shukor mendakwa pihak pengurusan kilang sebelum ini bersetuju untuk mengadakan rundingan mengenai pampasan, namun sehingga kini tiada penyelesaian dicapai.
Menurutnya, nelayan kini terpaksa keluar lebih jauh ke muara untuk menangkap hasil sungai, namun pulangan yang diperoleh tidak setimpal dengan kos operasi.
Katanya, nelayan lazimnya memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM200 sehari, selain menjana pendapatan tambahan menerusi aktiviti membawa kaki pancing setiap bulan.
Dalam pada itu, beliau mendakwa hampir dua tan ikan pelbagai spesies termasuk lampam, teruboi dan baung dipercayai mati akibat pencemaran tersebut berdasarkan pemerhatian di kawasan sungai.
"Kami juga bimbang habitat kelip-kelip akan terjejas kerana sumber makanannya berada di tebing sungai.
"Jika pencemaran seperti ini berterusan, kawasan ini mungkin kehilangan tarikan ekopelancongan," katanya.

Shukor turut memaklumkan bahawa pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia, Meor Razak Meor Rahman menggesa agensi teknikal seperti JAS memperkukuhkan pemantauan berkala terhadap industri bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Menurutnya, penguatkuasaan tidak seharusnya hanya dilakukan selepas aduan diterima, sebaliknya langkah pencegahan perlu dipertingkatkan bagi memastikan semua industri mematuhi syarat dan piawaian ditetapkan.
"Kita mempunyai undang-undang yang baik, namun pelaksanaannya perlu diperkasakan supaya insiden pencemaran tidak terus berulang," katanya.
Dalam perkembangan sama, wakil Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang, Muhammad Hanafi Abdul Latif berkata, aduan penduduk akan dibawa kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut.
Beliau turut mencadangkan tindakan lebih tegas termasuk hukuman dan penalti yang lebih berat dikenakan terhadap mana-mana industri yang didapati menyebabkan pencemaran sehingga menjejaskan kehidupan masyarakat setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

