'Dah ulang laluan itu berkali-kali, tapi tak nampak jasad anak' - Bapa

KOTA TINGGI – “Kawasan itu sebenarnya saya sudah lalu berulang kali sepanjang lima hari mencari dia, tetapi tidak nampak jasad anak."
Demikian kata Kamaruzaman Bahari, 50, bapa kepada Muhammad Nasrulhaq, 15, yang ditemukan meninggal dunia pada pagi Jumaat selepas dilaporkan hilang sejak lima hari lalu.
Kamaruzaman berkata, perkara paling meruntun hatinya apabila lokasi penemuan anak tunggalnya itu adalah kawasan yang sering dilalui ketika bersama pasukan pencarian sepanjang tempoh enam hari.

Menurutnya, dia bersama sukarelawan sudah menjelajah pelbagai kawasan sekitar Kota Tinggi dan Petri Jaya, termasuk laluan berkenaan, namun tidak menyangka anaknya berada di lokasi itu.
“Memang saya sudah lalu kawasan itu banyak kali. Kami cari setiap tempat yang mungkin dilalui dia, tetapi tidak nampak.
“Mungkin kedudukan jasadnya yang agak ke bawah menyebabkan kami tidak menyedarinya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi di sini pada Jumaat.

Kamaruzaman berkata, sepanjang tempoh pencarian, dia mengetepikan waktu rehat serta mengambil cuti kerja semata-mata untuk mencari anaknya.
"Sejak diberitahu anak sudah beberapa hari tidak pulang, saya terus bergegas dan mula mencari.
“Dari Ahad sampai malam sebelum dia ditemui, saya keluar mencari waktu pagi dan hanya balik sekitar jam 4 pagi sebelum sambung semula keesokan harinya,” katanya.'

Menurutnya, kawasan sekitar Kota Tinggi khususnya Petri Jaya sudah menjadi lokasi yang sering dikunjunginya sepanjang usaha mencari Muhammad Nasrulhaq.
“Boleh dikatakan kawasan ini sudah seperti rumah kedua saya sepanjang seminggu ini,” katanya.
Kamaruzaman turut merakamkan penghargaan kepada penduduk setempat, rakan-rakan arwah serta pelbagai pihak yang tampil membantu selepas kehilangan anaknya tular di media sosial.
Beliau berkata, Muhammad Nasrulhaq merupakan anak yang baik, pendiam dan tidak pernah menimbulkan masalah kepada keluarga.
“Kalau ditanya ada masalah atau tidak, dia akan jawab ‘tak ada apa-apa ayah, tak ada apa-apa ibu, okey saja’.
“Di sekolah pun dia okey. Dia anak yang baik,” katanya sebak.

Tambah menyedihkan, Muhammad Nasrulhaq merupakan satu-satunya anak yang masih ada selepas anak sulung Kamaruzaman meninggal dunia sebelum ini.
Katanya, walaupun reda dengan pemergian anaknya, dia masih terkilan kerana tidak berpeluang meluangkan lebih banyak masa bersama arwah.
“Kami bukan tinggal bersama. Saya bekerja kilang di Desa Cemerlang, Johor Bahru. Biasanya sebulan dua kali saya akan ambil dia ke rumah saya di Felda Air Tawar 2.
“Kali terakhir kami bersama adalah Sabtu minggu lalu sebelum proses mengundi berlangsung,” katanya.
Jenazah Muhammad Nasrulhaq dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gugusan Felda Waha berhampiran kediaman bekas isterinya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC kira-kira jam 2.30 pagi.
Beliau berkata, mayat yang ditemukan adalah Muhammad Nasrulhaq Kamaruzaman yang dipercayai keluar dari rumah di Felda Simpang Waha di sini pada 11 malam, 11 Julai lepas dengan menaiki motosikal secara berseorangan ke rumah rakannya di Kampung Temenin Baru.
Menuruntnya,mangsa mengalami kecederaan parah pada badan serta kaki dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai terbabas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

