Mahkamah Koroner bertafakur memperingati setahun pemergian Zara Qairina

KOTA KINABALU - Mahkamah Koroner pada Jumaat bertafakur selama satu minit bagi memperingati setahun pemergian Zara Qairina Mahathir, sebelum prosiding inkues kematian remaja itu diteruskan.
Koroner Amir Shah Amir Hassan mengarahkan semua yang hadir untuk berdiri dan bertafakur sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham.
“Hari ini, 17 Julai 2026, genap setahun pemergian Zara Qairina Mahathir, iaitu si mati.
"Atas dasar kemanusiaan dan sebagai tanda penuh penghormatan, mahkamah mengarahkan semua yang hadir di dalam inkues ini untuk berdiri dan bertafakur selama satu minit sebelum kita meneruskan keterangan Deponen 75," katanya.
Amir Shah turut mempersilakan individu beragama Islam membaca surah Al-Fatihah serta mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kedamaian abadi.
Bagi penganut agama lain pula, beliau meminta mereka bertafakur atau berdoa mengikut kepercayaan masing-masing.
Selepas sesi penghormatan itu selesai, prosiding inkues kematian Zara Qairina diteruskan dengan keterangan daripada saksi ke-75, pakar perunding psikiatri, Dr Wong Haw Huo.
Dalam pada itu, peguam yang mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir menyifatkan genap setahun pemergian pelajar itu sebagai satu tempoh yang sentimental buat pasukan guaman berkenaan.
Shahlan Jufri berkata, tempoh setahun itu juga kebetulan berlangsung ketika prosiding inkues kematian Zara Qairina sedang berjalan dan berdepan beberapa isu yang timbul sepanjang prosiding.
"Sempena satu tahun kematian Zara, agak sentimental bagi pasukan peguam Zara, " katanya semasa sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu di sini pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
