Abdul Hadi dakwa PH sebar propaganda Islamofobia

SHAH ALAM – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Pakatan Harapan (PH) kini menyebarkan propaganda Islamofobia sebagai senjata politik setelah gagal menumpang sentimen bertopengkan Islam.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, naratif Islamofobia dimainkan DAP yang mendominasi PH selepas parti berkenaan mencatat kejayaan besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, perkataan ‘Gelombang Hijau’ pertama kali diucapkan oleh pemimpin DAP berikutan kemaraan Pas yang telah mendapat kerusi terbanyak di Parlimen pada PRU15 dan menguasai empat negeri serta menawan sejumlah besar kerusi di beberapa negeri yang lain.
Kata beliau, di samping itu, Pas turut mempunyai wakil di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap negeri kecuali Sarawak.
“Senjata Islamofobia digunakan oleh DAP setelah gagal menumpang senjata bertopengkan Islam yang menggunakan jenama Islam oleh beberapa kumpulan yang berwajah Islam seperti Islamisasi yang berkonsepkan sekularisme.
“Iaitu melaksanakan Islam secara terpilih serta menggunakan perkataan Madani secara mutlak yang dianggap sebagai fitrah manusia tanpa melalui pembetulan hidayah yang berpandukan Islam,” dakwanya dalam catatan Minda Presiden Pas yang dimuat naik di Facebook pada Khamis.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi mendakwa, di Malaysia kini ada yang berpihak kepada DAP dengan menggunakan slogan ‘Islam Rahmatan lil ‘Alamin’ daripada al-Quran.
“Mereka sanggup menjadi syaitan bisu terhadap kemungkaran yang nyata, termasuk kemungkaran ekonomi yang membebankan kehidupan rakyat.
“Kemudian, ditaja kempen Jualan Rahmah, tanpa sebarang tindakan terhadap penyangak yang membocorkan harta negara dengan rasuah dan bermacam-macam salah laku yang terpaksa ditanggung kesannya serta menyusahkan rakyat,” dakwanya lagi.
Abdul Hadi menjelaskan, Islamofobia ialah suatu sangkaan buruk terhadap Islam dan penganut-penganutnya.
Beliau menegaskan, sekiranya ajaran Islam difahami secara akademik yang bermoral, dengan akal yang sihat serta bebas daripada penyakit fanatik, di samping memahami naratif masyarakat majmuk Malaysia yang didominasi oleh Melayu Islam sebagai penduduk asal di rantau Nusantara, maka tanggapan Islamofobia tersebut tidak akan timbul.
“Terdapat dalam kalangan DAP yang berniat jahat dengan menyatakan bahawa Melayu juga merupakan pendatang, bukan penduduk asal. Jadi, daripada bumi manakah asal Melayu ini?
“Semua bangsa lain ada negeri asal masing-masing. Mereka tidak menyedari bahawa rumpun penduduk Nusantara di Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu telah mempengaruhi penggunaan nama Melayu sebagai jenama bagi penganut Islam, sehingga perkataan Melayu menjadi seerti dengan perkataan Islam,” ujarnya.
Menurut Abdul Hadi, apa yang dirisaukan pihaknya ialah ada dalam kalangan orang Melayu yang ‘berimamkan’ DAP dan menumpang di belakangnya bagi memberi kemenangan untuk menguasai politik negara.
Ujar beliau, ia sehingga ada orang Melayu Islam menuduh rasis terhadap orang Melayu yang bersuara mempertahankan hak Melayu Islamnya yang dizalimi.
“Sebaliknya, mereka mendiamkan diri dan menjadi syaitan bisu terhadap DAP yang fanatik dan cauvinis kepada kebangsaan Cinanya.
“Islam tetap beristiqamah dalam membezakan fanatik perkauman (‘asabiyyah) dan cinta akan bangsa yang menjadi sifat fitrah manusia, yang dikawal oleh konsep keadilan kepada seluruh manusia serta mengharamkan kezaliman terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira agama, bangsa, kawan dan musuh,” katanya lagi.
Abdul Hadi menambah, kemaraan DAP bertopengkan PH memimpin Kerajaan Perpaduan telah memberanikan beberapa tokoh mereka mencabar Perlembagaan Persekutuan khususnya kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu dan bahasa kebangsaan.
“Langkah kerajaan PH meletakkan DAP dalam Kabinet pada kedudukan yang memudahkan pelaksanaan agenda politiknya untuk menakluk tanah air ini, menandakan suatu keadaan yang mencabar kedudukan Melayu Islam di tanah airnya sendiri.
“Jika dibiarkan, kelak orang Melayu Islam akan menerima nasib seperti kaum Red Indian di benua Amerika yang dipinggirkan dan dihapuskan di tanah air mereka sendiri. Maka, kata-kata slogan dalam hikayat Melayu, ‘Takkan Melayu hilang di dunia’ sekadar menjadi halwa telinga yang akhirnya larut ditelan zaman,” dakwa beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

