Projek jalan RM191 juta atasi kesesakan Kubang Kerian siap lebih 71 peratus

Nanta (dua dari kanan) yang melihat laporan projek yang dipaparkan pada papan kenyataan.
FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Nanta (dua dari kanan) yang melihat laporan projek yang dipaparkan pada papan kenyataan. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Projek menaik taraf Jalan Persekutuan FT209 dan FT131 dari persimpangan bertingkat Pasir Hor ke Panchor bernilai RM191 juta mencapai kemajuan fizikal sebanyak 71.61 peratus.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek sepanjang enam kilometer itu dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan trafik di laluan Kubang Kerian selain memendekkan tempoh perjalanan dan menyediakan kemudahan jalan raya yang lebih selamat serta selesa kepada pengguna.

Menurut beliau, projek berkenaan melibatkan kerja-kerja menaik taraf Jalan Raja Perempuan Zainab II bermula dari Persimpangan Maybank, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) di Pasir Hor sehingga Persimpangan Padang Tembak di Panchor dijangka siap sepenuhnya pada September tahun depan.

“Jalan sedia ada dari Kubang Kerian ke Sabak dan seterusnya ke Pengkalan Chepa kini berada pada tahap kritikal berikutan pertambahan jumlah kenderaan setiap hari.

“Keadaan itu berpunca daripada kapasiti jalan yang terhad selain kewujudan sekolah, pusat perdagangan dan HPUSM di sepanjang jajaran laluan berkenaan,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke projek tersebut di sini pada Rabu.

Nanta berkata, pelaksanaan projek itu amat penting memandangkan Kubang Kerian merupakan bandar kedua terbesar di Kota Bharu yang sedang pesat membangun.

Beliau berkata, pertambahan pembangunan di kawasan sekitar dijangka terus meningkatkan jumlah trafik sekali gus menjadikan projek naik taraf berkenaan sebagai penyelesaian jangka panjang kepada masalah kesesakan.

“Jalan ini juga merupakan laluan utama ke kawasan perindustrian di Pengkalan Chepa dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, justeru penyediaan infrastruktur yang lebih cekap akan memberi manfaat kepada pengguna serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat,” katanya.

Sementara itu, Nanta memberitahu, pihaknya turut mengambil tindakan segera bagi menangani isu banjir yang berlaku di persimpangan Panchor susulan aduan rakyat yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Artikel Berkaitan:

“Kontraktor projek sudah diarahkan untuk menyediakan parit sementara sepanjang kira-kira 40 meter sebagai langkah mitigasi jangka pendek bagi membantu mengurangkan masalah limpahan air di kawasan berkenaan,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!