Cemas 3 jam, jari kanak-kanak tersangkut pada kereta mainan

Muhammad Daniel Dylon ke balai bomba untuk mendapatkan bantuan gara-gara jarinya tersangkut pada kereta mainan
Muhammad Daniel Dylon ke balai bomba untuk mendapatkan bantuan gara-gara jarinya tersangkut pada kereta mainan
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang ibu berkongsi pengalaman cemas apabila jari anak lelakinya tersangkut pada sebuah kereta mainan selama hampir tiga jam sebelum berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba.

Nurul Farhana Hamzah, 37, berkata kejadian yang menimpa anak keduanya, Muhammad Daniel Dylon Abdul Qayyum, 6, berlaku ketika kanak-kanak itu berada di rumah pengasuh.

Menurutnya, dia menerima panggilan daripada pengasuh yang memaklumkan jari Muhammad Daniel Dylon tersangkut pada kereta mainan dan gagal dikeluarkan walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.

"Muhammad Daniel Dylon memang sangat meminati kereta dan kereta mainan. Kadang-kadang dia suka mencuba membaiki mainannya sendiri.

"Apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu, saya terus menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan. Bagaimanapun, saya dimaklumkan mangsa perlu dibawa ke balai bomba kerana keadaannya masih boleh dialihkan," katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, pada mulanya mereka bercadang membawa Muhammad Daniel Dylon pulang supaya ayahnya mencuba mengeluarkan jari yang tersepit.

"Namun, saya bimbang jika kami terus mencuba sendiri, keadaan mungkin menjadi lebih teruk. Saya percaya pihak bomba mempunyai peralatan dan kepakaran yang lebih sesuai untuk membantu," katanya.

Menurut Nurul Farhana, jari anaknya berjaya dikeluarkan selepas kira-kira dua hingga tiga jam tersangkut dan hanya mengalami sedikit bengkak tanpa sebarang kecederaan serius.

Dia turut merakamkan penghargaan kepada anggota bomba yang mengendalikan situasi berkenaan dengan tenang dan profesional sehingga berjaya mengeluarkan jari anaknya dengan selamat.

Artikel Berkaitan:

"Saya sangat bersyukur kerana semuanya berakhir dengan baik. Terima kasih kepada pihak bomba atas bantuan yang diberikan," katanya.

Dalam pada itu, Nurul Farhana berharap pengalaman yang dilaluinya dapat dijadikan pengajaran kepada ibu bapa supaya sentiasa memantau anak-anak ketika bermain, walaupun menggunakan permainan yang kelihatan selamat.

"Kalau sudah cuba tetapi masih tidak berjaya, jangan paksa kerana dikhuatiri boleh menyebabkan kecederaan yang lebih serius.

"Sebaliknya, segeralah mendapatkan bantuan daripada pihak bomba atau mereka yang mempunyai peralatan serta kepakaran yang sesuai. Keselamatan anak harus diutamakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!