Pecah rumah curi barang kemas, OKU dijel 14 bulan

KUANTAN – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dihukum penjara 14 bulan dan denda RM3,000 selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas tuduhan pecah masuk rumah dan mencuri barang kemas milik seorang wanita di Taman Muhibah di sini, 25 Jun lalu.
Majistret Ellyna Othman memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh, S Guna, 33, bermula dari tarikh dia ditangkap, 3 Julai lalu.
Tertuduh yang tidak bekerja dan bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdepan hukuman penjara tambahan sembilan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Berdasarkan kertas pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu bersama warga Myanmar, Mohd Sharuf Nizam Mohd Hanif, 26, dan seorang lagi yang masih bebas didakwa memecah masuk rumah mangsa dan mencuri rantai emas, gelang emas, loket emas serta sebuah telefon bimbit.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu jam 9.58 pagi, 25 Jun lalu.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda.
Sekiranya melibatkan kesalahan mencuri, tempoh penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun.
Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya B Deevagaran Naidu, manakala Guna diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Rahiza Zulkifli.
Dalam rayuannya, Rahiza memohon hukuman minimum dengan alasan anak guamnya merupakan pemegang kad OKU, tidak mempunyai pekerjaan dan menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Sementara itu, Mohd Sharuf Nizam yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM7,000 dengan dua penjamin bagaimanapun peguamnya, memohon jumlah lebih rendah dengan alasan anak guamnya bekerja di sebuah syarikat pelupusan sisa dan perlu menyara isteri serta anak-anak dengan pendapatan bulanan RM1,400.
Majistret Ellyna menetapkan jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

