Guru pelatih didakwa amang seksual terhadap pelajar lelaki

Tertuduh, Muhammad Mifdzal Mohd Zalani Sham (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu.
Tertuduh, Muhammad Mifdzal Mohd Zalani Sham (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Seorang guru pelatih dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas enam pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki yang juga pelajarnya, awal Julai lalu.

Tertuduh, Muhammad Mifdzal Mohd Zalani Sham, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan enam perbuatan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 14 tahun 3 bulan di sebuah rumah di Persiaran Guntong, Kampung Chakadi, Ipoh antara jam 1 pagi hingga 7.26 pagi pada 5 Julai 2026.

Daripada jumlah itu, lima pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, manakala satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 14(b) akta sama.

Seorang guru pelatih mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki yang juga pelajarnya, awal Julai lalu.
Seorang guru pelatih mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki yang juga pelajarnya, awal Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, selain hukuman tambahan jika sabit kesalahan kerana mempunyai hubungan amanah sebagai guru terhadap mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya, M Raveenaa menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan tidak mengganggu saksi serta melapor diri di balai polis setiap bulan.

Tertuduh diwakili Ameer Firdaus Mohd Amir memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya merupakan guru pelatih dari sebuah universiti tempatan yang sedang menunggu keputusan peperiksaan serta panggilan temu duga.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tertuduh telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dan berhasrat untuk meneruskan kerjaya sebagai penjawat awam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan serta menetapkan 20 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!