Sijil nikah Rohingya: Menteri Agama siasat dakwaan tertera kod Jakim

PUTRAJAYA - Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menyiasat dakwaan sijil nikah Rohingya yang tular memaparkan kod dipercayai merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Bagaimanapun Menterinya, Dr Zulkifli Hasan memaklumkan setakat ini pihaknya belum memperoleh maklumat berhubung perkara itu dan akan mendapatkan penjelasan terlebih dahulu sebelum mengulas lanjut.
"Nanti kita siasat, saya tak dapat lagi maklumat berkenaan perkara itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia (PePSSM) Kali Ke-2 Tahun 2026 di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang dilaporkan tidak mengiktiraf sijil perkahwinan Rohingya, selain dakwaan bahawa dokumen berkenaan memaparkan kod dipercayai merujuk kepada Jakim.
Sebelum ini, tular di media sosial sekeping sijil perkahwinan yang didakwa dikeluarkan oleh Majlis Ulama Rohingya Malaysia, memaparkan kod "JAKIM.PERH/LN.800-7(5)", sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kaitan kod berkenaan dengan JAKIM.
Setakat ini belum ada penjelasan rasmi daripada Jakim mengenai maksud kod yang tertera pada dokumen tersebut ataupun sama ada ia mempunyai kaitan dengan pengiktirafan sijil berkenaan.
Isu itu turut mencetuskan perbahasan selepas JAIPk dilaporkan tidak mengiktiraf sijil perkahwinan berkenaan, sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat mengenai status dokumen tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

