[VIDEO] 'Tak patut pindah ADUN DAP ke blok pembangkang ketika sidang berbaki sehari' - Adly
MELAKA - Tindakan memindahkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP ke blok pembangkang ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang hanya berbaki sehari tidak sepatutnya dilakukan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, perpindahan susunan tempat duduk itu sepatutnya ditangguhkan bagi menghormati pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memohon DAP Melaka menangguhkan keputusan untuk keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri.

“Perpindahan kerusi itu tidak sepatutnya berlaku bagi menghormati pandangan Perdana Menteri.
“Saya fikir perkara itu menimbulkan kekeliruan yang besar. Sepatutnya boleh ditangguh kerana sidang kita tinggal satu hari saja lagi,” katanya di Seri Negeri pada Rabu.
Pada Selasa, DAP Melaka mengumumkan keluar daripada kerajaan negeri serta-merta selepas DUN Melaka meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri berkaitan pelantikan ADUN pada hari yang sama.
Susulan itu, pada Rabu, keempat-empat ADUN DAP iaitu ADUN Kesidang, Allex Seah Shoo Chin; ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee; ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong; dan ADUN Banda Hilir, Leng Chau Yen mengambil tempat di blok pembangkang pada hari ketiga Persidangan DUN Melaka.
Sementara kedudukan Adly Zahari dilihat masih kekal mengambil tempat di blok kerajaan.
Mengulas dakwaan beliau tidak senada dengan tindakan empat ADUN DAP yang berpindah ke blok pembangkang, Adly menegaskan pendirian PH kekal sepakat dalam menolak pindaan Perlembagaan Negeri berkaitan pelantikan ADUN.
“Perkara paling asas ialah penolakan kita terhadap pindaan Perlembagaan dan tidak timbul soal ketidaksepakatan.
“Mekanisme dalam Pakatan Harapan itu kita sepakat. Cuma bagaimana kita hendak bertindak, kebanyakan ADUN terbabit perlu meletakkan jawatan kerana mereka memegang jawatan Exco, Timbalan Exco dan Timbalan Speaker.
“Saya pula tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan negeri, jadi perkara itu antara yang dibincangkan dan kita akan kemaskan mekanisme tersebut supaya tidak mengganggu urusan dengan rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

