Maritim Malaysia terima 23 bot baharu, empat kapal dalam proses perolehan kukuhkan keupayaan

Antara aset dimiliki Maritim Malaysia dalam usaha memperkukuh keselamatan perairan negara. Mohd Rosli (kanan)
Antara aset dimiliki Maritim Malaysia dalam usaha memperkukuh keselamatan perairan negara. Mohd Rosli (kanan)
A
A
A

PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh keupayaan asetnya menerusi perolehan 23 bot baharu bagi memantapkan operasi di perairan Sabah dan Sarawak, selain empat kapal bersaiz sederhana yang kini dalam proses perolehan.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya ada pelbagai program bagi aset baharu.

Menurutnya, Maritim Malaysia juga dijangka menerima Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) pertama yang sedang dibina di Turkiye pada pertengahan tahun depan.

“Kapal MPMS dijadual dilancarkan ke air pada Oktober ini sebelum menjalani ujian laut (sea trial) dan ujian kapal (ship trial) sebelum kru digerakkan ke Turki untuk membawa pulang aset ini pada Disember.

"Kita jangkakan kapal itu akan berada di Malaysia pada Februari tahun depan dan ia akan menjadi antara tumpuan semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA)," katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, selain itu, pemeteraian kontrak perolehan Kapal MPMS kedua pada 21 April lalu dijangka siap dalam tempoh 24 bulan (Februari 2026 hingga Januari 2028).

Mohd Rosli berkata, pihaknya juga akan menerima empat Helikopter Agusta Westland AW189 secara berperingkat mulai bulan ini bagi meningkatkan keupayaan operasi mencari dan menyelamat serta pengawasan maritim.

Jelasnya, helikopter pertama sudah berada di Malaysia dan majlis pelancarannya dijadual diadakan pada 13 Ogos depan oleh Menteri Dalam Negeri.

Mengulas mengenai keanggotaan, kata beliau, cadangan penambahan anggota masih dalam perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Artikel Berkaitan:

"Dari segi keanggotaan kita sedang bincang di pihak JPA. Anggaran untuk setiap kapal kalau ikut jumlah penjawatan untuk kapal saiz besar lebih kurang 75 anggota, jika mothership (kapal induk) mungkin lebih (anggota)," ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!