Dakwaan dokumen kargo petroleum Pelabuhan Tanjung Langsat bercanggah masih dalam siasatan SPRM

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan berhubung dakwaan percanggahan dokumen kargo petroleum di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor masih berjalan selepas kes berkenaan diterima dan diputuskan oleh Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM).
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R. Jeyenderan berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkembangan itu menerusi e-mel SPRM yang diterima pada pertengahan Jun lalu.
Menurutnya, sepanjang siasatan dijalankan pihaknya telah memberikan kerjasama penuh dengan menghadiri setiap sesi perjumpaan serta mengemukakan semua dokumen dan maklumat yang diperlukan pegawai penyiasat.
Katanya, beliau hadir ke ibu pejabat SPRM bagi menyerahkan surat memohon agar siasatan berkenaan dapat disegerakan.
"Kami menghormati SPRM dan proses siasatan yang sedang dijalankan, kehadiran kami bukan untuk memberi tekanan kepada mana-mana pihak, sebaliknya ingin mendapatkan perkembangan terkini mengenai siasatan yang sudah hampir tiga bulan berlangsung.
"Kami juga ingin mengetahui sama ada terdapat sebarang maklumat atau dokumen tambahan yang diperlukan daripada pihak kami," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan surat berkenaan di ibu pejabat SPRM di sini pada Jumaat.
Jeyenderan berkata, dokumen asal berkaitan kes itu turut diserahkan kepada SPRM atas nasihat pegawai penyiasat kerana ia lebih sesuai dikemukakan dalam bentuk asal berbanding secara e-mel.
Menurutnya, pegawai SPRM turut memaklumkan pihaknya akan menghubungi pengadu sekiranya terdapat sebarang perkembangan atau tindakan lanjut.
"Saya melihat maklum balas yang diberikan hari ini positif apabila dimaklumkan siasatan masih berjalan dan saya hanya perlu menunggu perkembangan seterusnya.
"Saya berharap proses siasatan itu dapat disegerakan selepas menunggu hampir tiga bulan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sekiranya dakwaan percanggahan dokumen berkenaan disahkan melalui siasatan, ia bukan sahaja membabitkan sebuah syarikat, malah berpotensi memberi implikasi terhadap pematuhan kawal selia, hasil kerajaan serta keyakinan terhadap industri maritim dan petroleum negara.
Sebelum ini, media melaporkan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa SPRM memberi perhatian segera terhadap dakwaan percanggahan dokumen kargo petroleum yang dilihat berpotensi membuka ruang kepada unsur rasuah, salah guna kuasa atau pemalsuan dokumen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

