Lans Koperal putus tangan tidak lepaskan tembakan kerana bimbang serpihan peluru terkena orang awam

Noor Hisam (tengah).
Noor Hisam (tengah).
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bimbang serpihan peluru terkena orang awam antara faktor anggota polis tidak melepaskan tembakan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di pangsapuri di Desa Aman Puri Kepong pada Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin berkata, anggota polis, Lans Koperal Thierry Rodger Fendy sebenarnya mempunyai hak untuk mempertahankan diri kerana berdepan ancaman yang boleh mengakibatkan kematian.

"Bagaimanapun, keputusan dia (Thierry) untuk tidak menggunakan senjata api dibuat selepas mengambil kira situasi semasa, khususnya risiko keselamatan orang awam di lokasi kejadian.

"Tembakan yang dilepaskan berisiko 'ricochet' (melantun), sekali gus menyebabkan serpihan peluru mencederakan individu lain," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Noor Hisam sebelum itu mengiringi Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid mengadakan lawatan ziarah kebajikan ke atas Thierry di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pada Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan seorang anggota polis berusia 26 tahun parah selepas ditetak seorang lelaki warga asing itu

Kejadian berlaku kira-kira jam 7 petang ketika sepasukan polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hadir ke lokasi bagi memeriksa keadaan seorang lelaki yang dipercayai berada dalam keadaan tidak stabil dan mengamuk.

Sebaik sahaja pintu premis kediaman itu dibuka, seorang lelaki yang berada di dalam rumah tiba-tiba meluru keluar dengan membawa dua bilah parang sebelum menyerang anggota yang berada di hadapan pintu.

Suspek ditembak selepas sekali lagi menyerang polis menggunakan parang ketika dikesan berhampiran sebuah taman permainan, tidak jauh dari pangsapuri berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Tembakan itu hanya mencederakan suspek dan apabila melihat keadaan tersebut pihak polis membawa lelaki itu untuk buat rawatan di Hospital Selayang, sebelum meninggal dunia.

Mengulas lanjut Noor Hisam berkata, anggota polis itu turut mempertimbangkan kemungkinan senjata api yang diacukan memberi kesan gentar kepada suspek," katanya.

"Dia beranggapan senjata di tangan boleh mengintimidasi suspek, tetapi tidak terkesan dan terus bertindak ganas.

"Jadi, itulah antara sebab dia tidak melepaskan tembakan, selain memikirkan keselamatan orang di sekeliling," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!