Dunia AI, kewartawanan dan media sosial

AI membawa perubahan besar dalam pelbagai bidang termasuk dunia kewartawanan.
AI membawa perubahan besar dalam pelbagai bidang termasuk dunia kewartawanan.
A
A
A

KECERDASAN buatan (AI) membawa perubahan besar dalam pelbagai bidang termasuk dunia kewartawanan.

Penggunaannya dalam penulisan berita semakin dipraktikkan kerana membantu menyiapkan tugasan lebih pantas dan berkesan.

Tidak dinafikan, AI memberi banyak manfaat kepada industri media khususnya dalam membantu mengumpul maklumat lebih pantas, menyemak hasil tulisan dan menganalisa sesuatu isu dalam masa singkat.

Penggunaannya juga menunjukkan langkah penting memastikan industri media terus bersaing seiring perkembangan teknologi digital sedia ada.

Namun begitu, kemajuan ini turut menimbulkan persoalan berkaitan etika, ketepatan fakta dan peranan manusia dalam memastikan bidang kewartawanan kekal dipercayai.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil semasa meraikan Sambutan Hari Wartawan Nasional baru-baru ini turut menekankan bahawa walaupun AI semakin diperlukan dalam industri media, namun pekerja industri tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada teknologi tersebut.

Wartawan masih perlu menggunakan pertimbangan sendiri dalam menilai sesuatu isu, memahami konteks masyarakat serta menghasilkan laporan yang seimbang berdasarkan nilai kemanusiaan.

Hal ini penting kerana AI juga mempunyai risiko jika digunakan tanpa kawalan.

Antaranya termasuk penyebaran maklumat palsu, kandungan mengelirukan serta isu berkaitan hak cipta.

Artikel Berkaitan:

Sebagai pengamal media, penggunaan AI perlu sentiasa berpandukan prinsip asas kewartawanan seperti ketepatan, kejujuran dan kebertanggungjawaban.

Setiap maklumat yang dihasilkan dengan bantuan AI wajib disemak terlebih dahulu sebelum diterbitkan.

Lihat sahaja hantaran poster yang dijana oleh AI di laman sosial khususnya yang dikaitkan dengan isu politik atau membabitkan pemimpin tertentu.

Lebih-lebih lagi bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru berlalu dan PRN Negeri Sembilan semakin terasa.

Begitu juga dengan kemelut yang melanda parti politik negara yang kini mendapat perhatian barisan kepimpinan di peringkat negeri dan pusat.

Tidak hairan juga apabila terdapat segelintir pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas situasi semasa ini dengan menghasilkan beberapa poster yang diyakini dihasilkan menerusi AI tersebar di media sosial memburukkan beberapa pemimpin politik.

Sebagai pengguna media sosial yang berhemah, wajar untuk penulis ingatkan, agar teknologi perlu digunakan secara lebih berakal tanpa menjatuhkan mana-mana pihak.

Lebih-lebih lagi apabila bahan yang disebarkan menerusi AI tidak disaring terlebih dahulu, sebaliknya berisiko sekiranya hantaran yang tidak betul menjadi tular setelah mendapat perhatian ramai.

Sudah pasti jatuh fitnah jika maklumat disebarkan tidak disahkan kebenaran dan ketepatan diragui.

Secara kesimpulannya, penggunaan AI dalam dunia hari ini merupakan satu perkembangan teknologi yang tidak dapat Teknologi mampu membawa banyak manfaat kepada industri dan negara jika digunakan dengan cara yang betul.

Bagaimanapun, kemajuan teknologi ini mestilah seiring dengan etika, pertimbangan moral dan nilai kemanusiaan.

AI hanyalah alat, manakala kebenaran, integriti dan tanggungjawab tetap berada di tangan manusia yang mengaplikasikannya.

Gunalah AI untuk membantu menyampaikan kebenaran, bukan menjadi alat untuk menyebarkan kekeliruan.

*Siti Zubaidah Zakaraya ialah wartawan Sinar Harian Utara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!