Kesan buruk media sosial kepada remaja

Media sosial mempunyai pengaruh sangat besar terhadap cara golongan muda berfikir, berkomunikasi, mendapatkan maklumat dan membentuk pandangan mereka terhadap dunia. Gambar hiasan
Media sosial mempunyai pengaruh sangat besar terhadap cara golongan muda berfikir, berkomunikasi, mendapatkan maklumat dan membentuk pandangan mereka terhadap dunia. Gambar hiasan
A
A
A

HARI ini media sosial telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat tanpa mengira usia.

Bukan sahaja golongan dewasa, malah kanak-kanak dan remaja turut menghabiskan banyak masa di platform seperti Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.

Media sosial mempunyai pengaruh sangat besar terhadap cara golongan muda berfikir, berkomunikasi, mendapatkan maklumat dan membentuk pandangan mereka terhadap dunia.

Setiap hari, pelbagai jenis kandungan muncul di media sosial. Tidak dinafikan ada yang bermanfaat seperti perkongsian ilmu, tip pembelajaran, maklumat semasa serta inspirasi untuk pembangunan diri.

Dengan kata lain, ia umpama kelas tambahan percuma yang tidak membosankan dan boleh diakses di mana-mana sahaja.

Namun begitu, jangan dilihat baiknya sahaja perlu juga diterokai keburukan media sosial kerana kesannya bukan dalam masa singkat tetapi di kemudian hari.

Begitu banyak kandungan media sosial yang boleh memberikan kesan negatif seperti budaya hidup yang tidak sihat, cabaran berbahaya, fitnah, buli siber dan penyebaran berita palsu.

Perkara yang lebih membimbangkan ialah ramai remaja menerima sesuatu maklumat tanpa menyemak kesahihannya terlebih dahulu kerana terlalu bergantung kepada apa yang mereka lihat di media sosial.

Selain itu, penggunaan media sosial tanpa kawalan boleh menyebabkan pelajar menjadi lalai terhadap tanggungjawab akademik.

Artikel Berkaitan:

Mereka gemar menghabiskan masa berjam-jam melayari media sosial sehingga lewat malam atau awal pagi, sekali gus menjejaskan waktu tidur dan tumpuan mereka di dalam kelas.

Akibatnya, prestasi pembelajaran boleh merosot dan menjadi kurang berminat untuk memberi perhatian terhadap pelajaran.

Dari sudut psikologi pula, media sosial turut memberi kesan terhadap kesihatan mental golongan muda.

Budaya membandingkan diri dengan kehidupan orang lain, keinginan mendapatkan perhatian melalui jumlah tontonan, perkongsian dan tanda suka, serta komen negatif daripada pengguna lain boleh menjejaskan keyakinan diri.

Keadaan ini menunjukkan bahawa media sosial bukan lagi sekadar medium komunikasi, malah telah menjadi satu ruang yang mampu mempengaruhi kehidupan seseorang secara langsung.

Oleh sebab itu, penetapan umur 16 tahun bagi pembukaan akaun media sosial mempunyai rasional tersendiri.

Menerusi peraturan baharu itu, pengguna yang ingin mendaftar akaun media sosial diwajibkan mengemukakan dokumen pengenalan rasmi yang dikeluarkan kerajaan seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID sebagai pengesahan umur dan ia terpakai kepada platform termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.

Walaupun langkah ini mungkin mengehadkan akses sesetengah golongan muda, ia boleh menjadi satu bentuk perlindungan awal agar mereka lebih bersedia dan matang sebelum terlibat secara aktif dalam dunia media sosial yang semakin mencabar.

Langkah ini juga dapat membantu mengurangkan risiko pendedahan kepada kandungan yang tidak sesuai dengan usia mereka.

Malah, langkah tersebut bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia selari dengan trend global yang sedang dilaksanakan oleh beberapa negara bagi melindungi kanak-kanak daripada kesan negatif penggunaan teknologi secara berlebihan.

Negara seperti Belanda, Korea Selatan dan Itali telah mengambil langkah mengawal penggunaan telefon pintar di sekolah kerana bimbang terhadap kesannya terhadap tumpuan pembelajaran, disiplin serta tingkah laku pelajar.

Tindakan ini menunjukkan bahawa isu penggunaan teknologi dalam kalangan golongan muda merupakan cabaran yang dihadapi oleh banyak negara.

Remaja yang sudah terbiasa dengan media sosial mungkin berasa kekok dan sukar menyesuaikan diri dengan peraturan baru ini.

Namun, lama-kelamaan mereka akan dapat menerima perubahan tersebut, apa yang penting, ibu bapa tidak membuka ruang atau memberi kelonggaran yang akhirnya menggagalkan tujuan pelaksanaan langkah tersebut.

Jadi, baik atau tidak pelaksanaannya tepuk dada tanya selera.

*Roskhoirah Yahya ialah wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!