Harga minyak cecah rekod tertinggi dalam hampir sebulan, lepasi AS$85 setong

ISTANBUL - Harga minyak melonjak melebihi AS$85 setong pada Selasa, mencapai paras tertinggi dalam hampir sebulan susulan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran dan gangguan perkapalan di Selat Hormuz yang meningkatkan kebimbangan mengenai bekalan, lapor Anadolu Ajansi.
Penanda aras minyak mentah Brent naik 2.4 peratus setakat 0635GMT, melanjutkan keuntungannya sejak awal minggu kepada lebih 13 peratus.
Komando Pusat AS (CENTCOM) berkata, operasi terbaharunya selama lima jam menyasarkan tapak tentera di sepanjang pantai selatan Iran, termasuk sistem pertahanan pantai, kemudahan peluru berpandu dan dron, serta keupayaan maritim.
Sasaran itu terletak di Bushehr, Chah Bahar, Jask, Konarak, Abu Musa dan Bandar Abbas, menurut CENTCOM, yang mengatakan serangan bertujuan untuk melemahkan keupayaan Iran menyerang perkapalan komersial.
Presiden AS Donald Trump berkata, tentera Amerika menyasarkan keupayaan ketenteraan Iran yang dikaitkan dengan Selat Hormuz dan mengembalikan sekatan ke atas Iran serta kapal yang menjalankan perniagaan dengan Tehran.
Trafik komersial melalui selat telah menjadi perlahan sehingga hampir terhenti berikutan serangan baharu, amaran keselamatan dan ketidakpastian mengenai sekatan.
Trump juga berkata, Washington mahukan pembayaran balik daripada negara-negara Teluk yang mendapat manfaat daripada perlindungan AS di selat itu, termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Kuwait dan Bahrain.
Ketegangan itu telah meningkatkan kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan kepada penghantaran minyak dan gas asli cecair di Selat Hormuz, salah satu laluan transit tenaga paling penting di dunia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
