Bekalan tenaga negara kekal terjamin, kerajaan pantau ketegangan Selat Hormuz - Fadillah

 Fadillah. Foto Bernama
Fadillah. Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Bekalan bahan api bagi sektor tenaga negara kekal terjamin dan kerajaan akan terus memantau rapat perkembangan terkini ketegangan di Selat Hormuz, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, setakat ini Malaysia tidak berdepan masalah bekalan tenaga susulan langkah proaktif yang diambil Petronas bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi rundingan di pelbagai peringkat bagi memastikan keselamatan bekalan negara.

"Kita melalui Petronas telah berunding, dengan Perdana Menteri pergi ke merata tempat membuat perundingan dan bekalan tenaga kita setakat ini adalah terjamin,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Penangguhan Regatta 2026 di jeti utama Kampung Sejijak, di sini pada Ahad.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, ketidaktentuan harga minyak dan gas di pasaran dunia akibat perkembangan geopolitik dijangka terus memberi cabaran kepada ekonomi negara. 

"Meskipun bekalan terjamin dari segi harga adalah satu yang mencabar. Sebab itu volatiliti dari segi harga pasaran minyak dan gas itu sudah pasti akan menjejaskan kedudukan (bekalan) negara kita,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu juga akan memberi tekanan kepada kedudukan kewangan negara walaupun kerajaan terus melaksanakan program subsidi dan bantuan kepada rakyat. 

"Jadi inilah cabaran yang perlu kita hadapi dan bagaimana kita nak merancang bagi memastikan kemampanan dari segi kewangan negara supaya kita dapat membantu rakyat, akan terus diberi keutamaan oleh kerajaan,” katanya. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!