Banyak perkara perlu ditapis daripada dunia maya

Generasi muda hari ini membesar dalam persekitaran digital yang tidak mempunyai sempadan. Foto hiasan janaan AI
Generasi muda hari ini membesar dalam persekitaran digital yang tidak mempunyai sempadan. Foto hiasan janaan AI
A
A
A

KES pelajar mencederakan rakan, membuli, melakukan vandalisme, melanggar peraturan sekolah dan bertindak mencederakan diri sendiri makin membimbangkan.

Walaupun setiap kes mempunyai latar belakang dan faktor tersendiri, satu hakikat sukar dinafikan ialah generasi muda hari ini membesar dalam persekitaran digital yang tidak mempunyai sempadan.

Sebagai golongan yang sedang melalui proses pembentukan identiti dan emosi, pelajar lazimnya mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat, didengar lalu diikuti.

Mereka belajar melalui pemerhatian, meniru tingkah laku individu dianggap popular atau berpengaruh, selain cenderung mengikut trend yang mendapat perhatian ramai di media sosial.

Dalam keadaan tertentu tindakan berbahaya, ganas atau melanggar undang-undang yang dipaparkan secara berulang boleh dianggap sebagai sesuatu yang normal dan boleh dicontohi.

Dunia digital sememangnya menawarkan pelbagai manfaat termasuk akses kepada ilmu pengetahuan dan peluang pembelajaran tanpa batasan.

Namun, internet turut membuka ruang kepada penyebaran kandungan negatif seperti budaya buli, cabaran berisiko, unsur keganasan, bahasa kebencian serta gaya hidup yang tidak sesuai dengan usia pelajar.

Lebih membimbangkan apabila sesetengah kandungan tersebut dipersembahkan dalam bentuk hiburan sehingga sukar dibezakan antara perkara boleh dicontohi dan yang sepatutnya dielakkan.

Bagaimanapun, tidak adil untuk meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada teknologi atau media sosial.

Artikel Berkaitan:

Pengaruh rakan, persekitaran keluarga, tekanan emosi, masalah komunikasi dan kurangnya pemantauan turut menjadi faktor menyumbang kepada tingkah laku berisiko dalam kalangan pelajar.

Justeru, pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan bagi menangani isu ini. Ibu bapa perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memantau penggunaan gajet dan kandungan yang diakses oleh anak-anak.

Sekolah pula perlu memperkukuhkan pendidikan nilai, literasi digital dan kesedaran tentang risiko dunia siber.

Pada masa sama, platform media sosial dan penyedia kandungan perlu lebih bertanggungjawab dalam menapis bahan yang berpotensi mempengaruhi tingkah laku negatif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!