Lagi pemimpin Bersatu letak jawatan, keluar parti

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Naib Ketua Armada Negeri Sembilan, Alif Asyraf Azman mengumumkan peletakan jawatan dan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa pada Isnin.

Alif Asyraf berkata, notis rasmi berhubung peletakan jawatan serta penarikan diri daripada keahlian parti itu telah dikemukakan kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, keputusan itu turut menyaksikan beliau melepaskan semua jawatan yang disandang dalam parti.

"Seiring dengan keputusan ini, saya secara rasminya melepaskan jawatan-jawatan berikut iaitu Naib Ketua Armada Negeri Sembilan, Ketua Armada Bahagian Seremban dan Ketua Cawangan.

"Ingin saya tegaskan bahawa keputusan ini dibuat setelah mempertimbangkannya dengan teliti," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh kepimpinan parti, ahli-ahli bahagian, serta semua pihak yang sentiasa memberikan kerjasama, sokongan dan kepercayaan kepadanya sepanjang tempoh memegang amanah.

"Akhir kata, saya mendoakan agar parti Bersatu akan terus maju dan berjaya pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, tujuh lagi pemimpin Bersatu Bahagian dan Cawangan Tampin turut mengambil tindakan sama.

Menerusi surat yang ditandatangani oleh Naib Ketua Bersatu Bahagian Tampin, Abdul Aziz Jamaludin memaklumkan keputusan itu dibuat mereka untuk mengikuti dan menyokong bekas Ketua Bersatu Bahagian Tampin, Ridzuan Ahmad yang menyertai parti Wawasan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini media melaporkan, Ridzuan yang merupakan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas membuat keputusan keluar parti sekali gus meletakkan jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tampin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!