Lagi MPT Bersatu letak jawatan, 150 ahli umum keluar parti hari sama

SHAH ALAM - Seorang lagi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Aziman Hadi Nazri mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta pada Jumaat.
Pada masa sama, beliau juga memutuskan untuk meletakkan jawatannya sebagai Exco Armada Nasional.
"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh kepimpinan parti, rakan-rakan seperjuangan serta semua ahli yang telah memberikan kepercayaan, sokongan dan kerjasama sepanjang saya menggalas amanah dalam parti.
ARTIKEL BERKAITAN: Setiausaha Bersatu Perlis umum keluar parti
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan ahli Armada di semua peringkat yang telah bersama berjuang demi memperkukuhkan parti dan membawa suara anak muda," katanya dalam hantaran Facebook pada Jumaat.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah melepaskan jawatan sebagai Ahli MPT Bersatu bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran kerajaan negeri yang berbaki kira-kira setahun sebelum tamat penggal.
Selain Abu Bakar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena yang juga Exco kerajaan negeri, Marzita Mansor turut mengambil keputusan sama apabila menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai ahli MPT pada minggu lalu.
Bagaimanapun, Aziman Hadi yang turut mengisytiharkan keluar parti tidak menyatakan sebab peletakan jawatan berkenaan dalam satu surat kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada hari sama, Ketua Bersatu Bahagian Bukit Bintang, Rosman Mohd Nordin bersama barisan kepimpinan bahagian dan kira-kira 150 ahli menamatkan keahlian dalam parti.
Menurut kenyataan media dikeluarkan bahagian itu, keputusan berkenaan dibuat secara sukarela selepas melalui pertimbangan sewajarnya.
Bagaimanapun, seorang Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Bahagian hanya meletakkan jawatan disandang, namun memilih untuk kekal sebagai ahli Bersatu.
Dalam masa sama, Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Bukit Bintang turut meletakkan jawatan dan menamatkan keahlian dalam parti.
Naib Ketua Srikandi bersama barisan AJK sayap berkenaan turut mengambil keputusan sama dengan melepaskan jawatan serta menamatkan keahlian masing-masing.
Selain barisan kepimpinan bahagian, kira-kira 150 ahli Bersatu Bahagian Bukit Bintang turut mengambil keputusan menamatkan keahlian dalam parti berkuat kuasa pada tarikh sama.
Keputusan ini menyusuli tindakan terdahulu apabila seramai 150 orang Ahli Bersekutu Bersatu Bahagian Bukit Bintang telah mengumumkan keputusan untuk menamatkan keahlian dan keluar daripada Bersatu pada pertengahan Februari 2026.
Dalam surat dikemukakan Rosman kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mereka menjelaskan keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa, hala tuju perjuangan serta kepimpinan parti.
“Setelah mengambil kira pandangan dan hasrat ahli-ahli di peringkat akar umbi, kami berpendapat bahawa keputusan ini adalah yang terbaik demi meneruskan perjuangan mengikut prinsip dan keyakinan kami,” menurut surat berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

