Sempat kemas restoran dengan tangan bergari sebelum diangkut Imigresen

Antara pekerja warga asing yang ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah ketika serbuan Imigresen. Foto NORAFIZA JAAFAR/SINAR HARIAN
Antara pekerja warga asing yang ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah ketika serbuan Imigresen. Foto NORAFIZA JAAFAR/SINAR HARIAN
A
A
A

ALOR GAJAH – Empat pekerja asing di sebuah restoran 24 jam sempat mengemas peralatan premis walaupun tangan bergari sebelum dibawa menaiki trak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di Kelemak di sini pada Isnin.

Situasi itu berlaku selepas kesemua warga India itu mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah ketika pemeriksaan dijalankan.

Anggota penguat kuasa yang berada di lokasi turut bertindak mengangkat kerusi dan meja yang diletakkan di luar premis bagi mempercepatkan proses penutupan kedai.

Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, pihaknya memberikan sedikit masa kepada pekerja terbabit untuk mengemas dan menutup premis sebagai langkah keselamatan.

"Susulan kesemua empat pekerja ditahan dalam operasi berkenaan, kami membenarkan premis itu ditutup bagi mengelakkan risiko kejadian kecurian.

"Pemilik premis tidak berada di lokasi ketika operasi dijalankan dan kedai akan ditinggalkan tanpa pekerja," katanya selepas mengetuai operasi berkenaan.

Pekerja warga asing dibenarkan untuk menutup premis sebelum dibawa Imigresen untuk tindakan lanjut. Foto NORAFIZA JAAFAR/SINAR HARIAN
Pekerja warga asing dibenarkan untuk menutup premis sebelum dibawa Imigresen untuk tindakan lanjut. Foto NORAFIZA JAAFAR/SINAR HARIAN

Beliau berkata, seramai 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi itu, termasuk dua kanak-kanak lelaki warga Myanmar berusia satu dan tujuh tahun yang ditahan bersama ibu bapa mereka selepas didapati menyalahgunakan dokumen perjalanan dengan menjalankan perniagaan kedai makan dan runcit tanpa kebenaran.

Artikel Berkaitan:

"Hasil operasi, seramai 40 warga asing terdiri daripada 27 lelaki, 11 wanita dan dua kanak-kanak berusia antara satu hingga 40 tahun ditahan.

"Kesemua mereka disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta menyalahgunakan syarat pas," katanya.

Katanya, operasi itu turut menyaksikan dua lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun cuba melarikan diri dengan melintas jalan utama sehingga membahayakan diri sebelum dikejar kira-kira 20 meter dan berjaya ditahan.

Warga asing yang ditahan sempat mengemas restoran dalam keadaan tangan bergari sebelum diangkut Imigresen. Foto NORAFIZA JAAFAR/SINAR HARIAN
Warga asing yang ditahan sempat mengemas restoran dalam keadaan tangan bergari sebelum diangkut Imigresen. Foto NORAFIZA JAAFAR/SINAR HARIAN

Dalam perkembangan sama, Anirwan berkata, pemeriksaan turut menemukan dua premis yang dipercayai berselindung di sebalik aktiviti perniagaan untuk menawarkan perkhidmatan tambah nilai perjudian dalam talian.

"Sebuah premis yang beroperasi sebagai kedai makan mempunyai ruang khas untuk urusan tambah nilai perjudian dalam talian, manakala sebuah lagi menyamar sebagai kedai runcit tetapi hanya menjual beberapa barangan asas bagi mengaburi kegiatan sebenar.

"Seorang pekerja warga Indonesia yang ditahan di premis terbabit mendakwa baru berada di Malaysia mengendalikan urusan tambah nilai perjudian dalam talian," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!