Penarik kereta ditahan bersama pil kuda bernilai RM61,000

Pihak polis mengiringi suspek (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Tumpat  - Foto: SINAR HARIAN /ADILA SHARINNI WAHID
Pihak polis mengiringi suspek (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Tumpat  - Foto: SINAR HARIAN /ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

TUMPAT – Seorang duda yang mempunyai dua anak direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin bagi membantu siasatan berkaitan dengan kegiatan pengedaran lebih setengah kilogram dadah jenis pil kuda di Kampung Kubang Batang di sini.

Perintah reman terhadap suspek berusia 35 tahun itu dikeluarkan di hadapan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi.

Perintah tersebut berkuat kuasa mulai Isnin hingga Sabtu ini.

Difahamkan, suspek yang juga penarik kereta itu ditahan pada jam 3.30 petang Ahad lalu hasil maklumat awam yang diterima Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.

Dalam serbuan itu, sepasukan anggota mengesan sebuah Perodua Axia dalam keadaan mencurigakan yang berhenti di tepi jalan sebelum melakukan pemeriksaan.

Pemeriksaan lanjut menemukan kira-kira 610 gram pil kuda atau 6,100 biji dengan anggaran nilai rampasan sekitar RM61,000.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif terhadap dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali sekiranya disabitkan kesalahan.

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!