Terengganu kaji penggunaan bot penambang elektrik

Razali
Razali
A
A
A

​KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu sedang meneliti penggunaan bot penambang elektrik menggunakan bateri atau E-Boat Penambang dalam usaha mentransformasikan perkhidmatan pengangkutan air ikonik itu agar lebih moden, selamat, mesra alam dan berdaya saing.

​Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, inisiatif bagi memodenkan perkhidmatan bot penambang Seberang Takir itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

​Menurutnya, institusi pengajian tinggi berkenaan dipilih berdasarkan kepakaran luas dalam teknologi bateri, mobiliti elektrik serta inovasi pengangkutan hijau.

​"Kajian komprehensif kini sedang giat dijalankan bagi menilai pelbagai aspek merangkumi teknikal, keselamatan, kos pelaksanaan, penyelenggaraan serta kesesuaian operasi E-Boat di muara Sungai Terengganu.

"Kajian ini juga akan mengambil kira impak dan kebajikan pengusaha bot penambang sedia ada sebelum sebarang keputusan muktamad diambil," katanya.

​Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khazan Che Mat (Bersatu - Seberang Takir) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini pada Isnin.

​Khazan sebelum itu membangkitkan persoalan mengenai perancangan kerajaan negeri dalam menangani kemerosotan operasi bot penambang Seberang Takir yang kini dihimpit pelbagai isu termasuk pematuhan pelesenan, keselamatan dan kemudahan jeti yang daif.

Razali berkata, projek itu mampu menjadi pencetus revolusi pengangkutan air negeri yang mampan jika hasil kajian memberikan kesan positif.

​"Inisiatif ini bukan sahaja berpotensi mengurangkan kos operasi dan pelepasan karbon dalam jangka panjang, malah mampu memperkukuhkan lagi kedudukan bot penambang sebagai produk pelancongan warisan bernilai tinggi," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

​Dalam pada itu, beliau menyatakan komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan negeri untuk memastikan khazanah tradisi berkenaan terus dipelihara sebagai produk pelancongan ikonik Terengganu.

​Bagi merealisasikan hasrat tersebut, katanya, beberapa langkah proaktif sedang digerakkan dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia, Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan agensi berkaitan.

​"Antara fokus utama kita adalah memastikan semua bot mematuhi syarat pelesenan dan piawaian keselamatan Jabatan Laut Malaysia, di samping menghulurkan bantuan kepada pengusaha untuk memenuhi keperluan berkenaan.

​"Kerajaan juga bertindak menaik taraf kemudahan jeti serta infrastruktur sokongan demi meningkatkan keselesaan pengguna dan melancarkan operasi harian," jelas beliau.

​Tambah beliau, usaha memperkasakan penjenamaan semula bot penambang sebagai produk warisan kini giat dijalankan bagi meningkatkan kehadiran lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.

​Sementara itu, menyentuh mengenai penawaran produk pelancongan malam, Razali memaklumkan pihak LAUT pada prinsipnya bersetuju untuk memperkenalkan Kebenaran Izin Lalu bagi operasi bot tertentu pada waktu malam.

​Bagaimanapun jelasnya, pelaksanaan tersebut masih di peringkat perancangan dan hanya akan dikuatkuasakan selepas semua aspek keselamatan, navigasi serta pematuhan peraturan dipenuhi sepenuhnya.

​Katanya, MBKT turut melengkapkan kerja-kerja menaik taraf jeti bot penambang di hadapan Pasar Payang yang kini berfungsi sebagai jeti operasi utama.

​"Penambahbaikan ini melibatkan aspek keselamatan, keselesaan pengguna dan kemudahan akses bagi menyokong usaha menghidupkan semula bot penambang.

​"Kami yakin melalui kerjasama erat semua agensi dan pengusaha, perkhidmatan ini dapat diperkasakan semula sebagai warisan negeri bernilai tinggi," katanya.

-ENDS-

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!