'Barcode' tak cukup kuat sokong kesimpulan Zara Qairina berniat tamatkan riwayat - Pakar

Dr Noor Aishah (dua dari kiri) hadir ke Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bagi memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir.(Gambar kecil).
Dr Noor Aishah (dua dari kiri) hadir ke Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bagi memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir.(Gambar kecil).
A
A
A

KOTA KINABALU - Hasil penilaian Pakar Psikologi Kanak-Kanak menyatakan bahawa tingkah laku mencederakan diri menerusi 'barcode' tidak cukup untuk menyokong kesimpulan bahawa Zara Qairina Mahathir mempunyai niat untuk menamatkan riwayatnya sendiri.

Dr Noor Aishah Rosli yang merupakan saksi ke- 76 memberitahu Mahkamah Koroner semasa memberikan keterangannya di sini, pada Isnin.

"Sepanjang fasa tujuh hingga 12 tahun, tiada maklumat yang kukuh menunjukkan Zara mengalami kemurungan klinikal, keresahan serius, gangguan mental berat, keinginan membunuh diri yang stabil, atau perubahan tingkah laku yang konsisten dengan risiko bunuh diri yang tinggi.

"Dalam laporan saya, saya turut mengambil kira isu berkaitan 'barcode' atau tingkah laku mencederakan diri tanpa niat membunuh diri. Berdasarkan maklumat saksi, tingkah laku tersebut perlu difahami dalam konteks perkembangan remaja, pengaruh rakan sebaya, trend semasa, serta ekspresi emosi yang tidak matang, dan bukan secara automatik sebagai bukti niat untuk membunuh diri.

"Dalam penilaian saya, episod tersebut tidak mencukupi untuk menyokong kesimpulan bahawa Zara mempunyai niat bunuh diri yang stabil, terancang atau berterusan," katanya.

Sebelum itu, Dr Noor Aishah memberitahu mahkamah bahawa laporan Psychological Autopsy Profiling Allahyarhamah Zara Qairina disediakan bagi membantu mahkamah memahami keadaan psikologi remaja tersebut secara menyeluruh sebelum kematiannya.

"Dalam konteks kes ini, tujuan utama saya adalah untuk membina profil psikologi Allahyarhamah Zara Qairina dan menilai sama ada, dari perspektif psikologi, terdapat asas yang kukuh untuk menyokong bahawa Zara mempunyai kecenderungan, niat atau keadaan psikologi yang konsisten dengan perbuatan menamatkan nyawa sendiri.

"Saya juga menilai sama ada terdapat faktor-faktor psikologi, sosial, keluarga, persekitaran sekolah, hubungan rakan sebaya, pengalaman asrama, catatan peribadi, komunikasi telefon, dan maklumat saksi yang relevan bagi membantu Mahkamah memahami keseluruhan konteks kehidupan Zara sebelum kejadian," katanya.

Menurutnya, laporan itu disediakan menggunakan pendekatan Psychological Autopsy iaitu kaedah penilaian retrospektif dalam bidang psikologi forensik yang menilai keadaan mental, emosi, sosial, tingkah laku, hubungan interpersonal, faktor persekitaran dan faktor psikologi seseorang sebelum kematian.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga telah menemu bual beberapa individu yang mempunyai pengetahuan langsung atau hubungan rapat dengan Allahyarham Zara, termasuk ibunya, ahli keluarga, pengasuh, jiran, rakan-rakan sekolah rendah, rakan-rakan sekolah menengah, guru-guru dan warden.

"Saya turut membangunkan profil psikologi Puan Noraidah Lamat kerana beliau merupakan individu yang paling rapat dengan Zara sepanjang hayatnya dan mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai perkembangan kognitif, emosi, sosial, tingkah laku, minat, rutin harian dan pengalaman hidup Zara," katanya.

Beliau berkata, penyediaan laporan itu turut melibatkan penelitian terhadap pelbagai dokumen berkaitan kehidupan Allahyarham Zara Qairina termasuk gambar dan video, diari, catatan peribadi, dokumen sekolah, laporan psikologi dan psikiatri, laporan pemeriksaan tulisan tangan, laporan forensik dokumen, nota prosiding, transkrip perbualan telefon dengan ibunya serta pernyataan bertulis saksi.

"Berdasarkan keseluruhan bahan yang dianalisis, saya mendapati bahawa Zara Qairina telah menunjukkan perkembangan awal yang baik sejak lahir.

"Berdasarkan maklumat daripada ibunya dan individu yang mengenali Zara sejak kecil, hubungan Zara dengan ibunya adalah sangat rapat, mesra dan stabil.

"Zara banyak menghabiskan masa bersama ibunya, sering berkongsi cerita, tidur bersama ibunya ketika kecil, dan banyak terlibat dalam aktiviti harian bersama ibunya," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!