Kem Sultan Nazrin Shah dengan lapang sasar terpanjang di Malaysia dirasmi

Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan perasmian Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando di Ulu Kinta pada Selasa. Foto Bernama
Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan perasmian Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando di Ulu Kinta pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan perasmian Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando di Ulu Kinta di sini pada Selasa.

Majlis dimulakan dengan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama, diikuti bacaan ayat suci al-Quran dan doa sebelum diteruskan dengan sembah ucapan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Baginda kemudian menyempurnakan lafaz perasmian, gimik pelancaran serta menandatangani plak sebagai simbolik pembukaan kem berkenaan sebelum berangkat melawat pameran yang disediakan.

Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.

Keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Saifuddin Nasution; Speaker Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara berkenan melihat senjata yang dipamerkan selepas baginda merasmikan Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando di Ulu Kinta pada Selasa. Foto Bernama
Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara berkenan melihat senjata yang dipamerkan selepas baginda merasmikan Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando di Ulu Kinta pada Selasa. Foto Bernama

Dalam sembah ucapannya, Saifuddin Nasution berkata, Kem Sultan Nazrin Shah menjadi manifestasi komitmen Kerajaan Madani dalam memperkukuh keupayaan pasukan keselamatan negara untuk menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks dan dinamik.

"Kem ini membuktikan kesungguhan kerajaan menyediakan kemudahan, infrastruktur dan persekitaran latihan terbaik demi memastikan kesiapsiagaan pasukan dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.

Artikel Berkaitan:

"Kem Sultan Nazrin Shah merupakan pelaburan strategik negara yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan keupayaan 69 Komando untuk dekad-dekad akan datang," katanya.

Beliau berkata, kem berkenaan bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi simbol penghargaan negara terhadap jasa dan pengorbanan generasi pegawai serta anggota 69 Komando yang telah berkhidmat sejak lebih lima dekad lalu.

Anggota 69 Komando melakukan demonstrasi gempur sempena perasmian Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando di Ulu Kinta pada Selasa. Foto Bernama
Anggota 69 Komando melakukan demonstrasi gempur sempena perasmian Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando di Ulu Kinta pada Selasa. Foto Bernama

Kem Sultan Nazrin Shah dibangunkan sebagai pusat pentadbiran dan latihan moden bagi memperkukuh keupayaan operasi serta latihan 69 Komando, Polis Diraja Malaysia (PDRM), selaras dengan keperluan menghadapi ancaman asimetrik dan cabaran keselamatan semasa.

Projek bernilai RM206 juta itu dibina di kawasan seluas 86 hektar daripada keseluruhan 334.4 hektar bersebelahan Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta.

Projek berkenaan siap sepenuhnya pada 3 Februari 2023 sebelum menerima Perakuan Siap Kerja pada 14 Februari 2024 dan diserahkan secara rasmi pada 4 Mei 2024.

Sebagai kem dwi-fungsi yang menggabungkan pusat pentadbiran dan latihan, ia dilengkapi pelbagai kemudahan bertaraf dunia termasuk Kompleks Latihan Para, kemudahan latihan payung terjun, CQB House, lapang sasar tertutup serta lapang sasar jarak dekat dan sederhana.

Kem itu turut memiliki lapang sasar sepanjang 1.2 kilometer, yang merupakan lapang sasar terpanjang di Malaysia bagi latihan taktikal, antikeganasan dan penembak tepat (sniper) jarak jauh oleh 69 Komando.

Selain itu, kem berkenaan turut dilengkapi Kolam Renang Taktikal bagi latihan selam, sekali gus melengkapkan kemudahan latihan khusus untuk meningkatkan kesiapsiagaan pasukan elit berkenaan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!