Israel jadi batu api dakwa Iran mahu bunuh Trump

WASHINGTON - Israel didakwa menjadi batu api apabila berkongsi maklumat dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung rancangan baharu dan 'spesifik' kononnya Iran mahu membunuh Presiden Donald Trump, menurut laporan media tempatan pada Khamis.
Laporan itu muncul ketika serangan baharu antara Washington dan Teheran mencetuskan kebimbangan konflik berskala besar kembali tercetus.
CNN melaporkan AS telah memantau 'rentetan berterusan' maklumat risikan mengenai kemungkinan rancangan membunuh Trump, namun amaran daripada Tel Aviv adalah perkara baharu dan melibatkan satu rancangan khusus.
The Wall Street Journal yang turut memetik sumber tidak dinamakan mendakwa maklumat risikan berkenaan menggambarkan satu rancangan 'baharu'.
Plot bunuh itu diambil serius oleh AS selepas Teheran pernah berikrar untuk membalas dendam terhadap Trump selepas beliau mengarahkan pembunuhan komander kanan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Leftenan Jeneral,Qassem Soleimani pada Januari 2020 ketika penggal pertama pentadbirannya.
Pemimpin Republikan itu yang cuba berlagak berani, namun tindakannya menggunakan pesawat lama untuk meninggalkan Turkiye selepas Sidang Kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) telah mencetuskan tanda tanya kepada banyak pihak.
Trump menaiki pesawat Air Force One lama manakala jet baharu yang dihadiahkan Qatar dihantar terlebih dahulu ke Britain sebelum bertukar pesawat dan meneruskan perjalanan ke Washington.
Pertukaran daripada pesawat baharu itu dalam penerbangan luar negara pertamanya mencetuskan spekulasi bahawa ia mungkin berpunca daripada ciri keselamatan yang didakwa belum mencukupi.
The New York Times melaporkan langkah itu dibuat atas permintaan Perkhidmatan Rahsia sebagai langkah berjaga-jaga. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

