Gencatan senjata dengan Iran berakhir - Trump

TURKI - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu berkata bahawa gencatan senjata dengan Iran telah berakhir selepas pertempuran kembali tercetus antara kedua-dua negara.
“Setakat yang saya tahu, ia sudah berakhir,” kata Trump pada sidang kemuncak NATO di Turki apabila ditanya sama ada gencatan senjata itu masih berkuat kuasa.
“Saya akan biarkan para perunding hebat kita terus berbincang jika mereka mahu, tetapi saya tidak nampak sebarang hasilnya. Saya tidak suka golongan ini.”
Harga minyak melonjak lima peratus selepas kenyataan Trump tersebut.
Kedua-dua pihak melaporkan telah menyerang puluhan sasaran, sekali gus memberi tekanan baharu kepada perjanjian sementara yang bertujuan menamatkan perang mereka dan menyebabkan harga minyak meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh dua minggu.
Media kerajaan Iran pada Rabu melaporkan satu gelombang letupan di sekitar selat tersebut, termasuk enam letupan di Pulau Qeshm, tujuh di bandar Sirik dan beberapa lagi di bandar pelabuhan utama Bandar Abbas.
Media itu kemudian turut melaporkan beberapa letupan di bandar pelabuhan Bushehr, yang menempatkan satu-satunya loji janakuasa nuklear awam negara itu dan terletak berhampiran Pulau Kharg, terminal minyak utama yang mengendalikan 90 peratus eksport minyak mentah Iran.
Media kerajaan turut melaporkan seorang anggota Pengawal Revolusi Iran (IRGC) terbunuh di barat daya negara tersebut.
Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) berkata tenteranya telah menyerang lebih 80 sasaran, termasuk sistem pertahanan udara Iran, tapak radar pantai dan 60 bot kecil milik IRGC.
Menurut CENTCOM, serangan itu bertujuan melemahkan keupayaan Iran untuk terus menyerang perdagangan antarabangsa yang melalui koridor perdagangan global tersebut.
Iran bertindak balas dengan pantas apabila Pengawal Revolusi mengumumkan bahawa mereka telah menyerang puluhan kemudahan tentera As di Kuwait dan Bahrain, di mana seorang wartawan AFP mendengar bunyi letupan.

Awal pagi Rabu, Kementerian Dalam Negeri Bahrain dan tentera Kuwait melaporkan bahawa sistem pertahanan udara mereka telah diaktifkan, namun tidak memberikan maklumat mengenai sebarang kerosakan yang mungkin berlaku.
Ketua perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf menuduh As melakukan pelanggaran besar terhadap memorandum persefahaman antara kedua-dua pihak, termasuk mengembalikan sekatan minyak dan melanggar pelarasan Iran di selat tersebut.
Washington telah membatalkan pengecualian sekatan ke atas jualan minyak Iran, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Tehran ketika rundingan mengenai penyelesaian muktamad konflik sedang berlangsung.
Serangan di Hormuz
Agensi keselamatan maritim Britain, UKMTO pada Selasa melaporkan bahawa sebuah kapal tangki berhampiran Hormuz telah terkena peluru tidak dikenali menyebabkan kebakaran sebelum dua lagi kapal turut diserang, sekurang-kurangnya satu daripadanya oleh dron.
CENTCOM mengenal pasti kapal-kapal berkenaan sebagai Al Rekayyat yang berdaftar di Kepulauan Marshall, Wedyan yang berdaftar di Arab Saudi dan Cyprus Prosperity yang berdaftar di Liberia.
Ketiga-tiga kapal itu diserang berhampiran Oman, yang sebelum ini mencadangkan koridor transit sementara yang mengikuti garis pantainya, satu inisiatif yang ditentang Iran kerana Tehran mahu mengenakan bayaran kepada kapal yang menggunakan laluan air sempit tersebut.
Al-Rekayyat merupakan kapal milik Qatar, dan Doha mengecam serangan tidak boleh diterima terhadap pelayaran maritim antarabangsa serta memanggil timbalan duta Iran untuk menyampaikan bantahan rasmi.
Iran menyuarakan kekesalan terhadap tuduhan Qatar dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi IRNA, sambil menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak boleh diterima.
“Kita kini berada dalam tempoh sensitif di mana kemungkinan alternatif kepada sistem tol atau bayaran Iran sedang diteroka,” kata Andreas Krieg, pakar keselamatan dari King’s College London kepada AFP.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
