Isu salib: Mujahid perlu tegas, tidak terlalu defensif

Nasrudin Hassan
A
A

KUALA LUMPUR - Pas mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof tegas dan tidak terlalu defensif sehingga dilihat lemah mempertahankan Islam dalam menangani isu paparan lambang salib di Grace Residence, Jelutong, Pulau Pinang.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, ia bagi mempertahankan umat Islam dan menjaga sensitiviti agama di negara ini.

Katanya, isu itu sudah lama tular di media sosial dan dikecam ramai, malah pernah ditegur Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

"Namun, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri semalam dilihat tidak tegas dan berdolak dalih.

"Ia telah mengecewakan hati umat Islam di Malaysia khususnya di Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Mujahid berkata, beliau masih belum menerima laporan rasmi berhubung isu paparan lambang salib di Grace Residence dan berharap ia diterima secepat mungkin dari Mufti Pulau Pinang dan kerajaan negeri.

Katanya, isu paparan salib berkenaan perlu diteliti sama ada ia dilakukan dengan niat untuk menimbulkan keresahan dan sensitiviti agama atau hanya sekadar struktur sahaja kerana beliau difahamkan jika lampu dipasang pada bangunan pangsapuri itu, ia bukan tanda salib, tetapi perkataan bahasa Mandarin yang membawa makna ‘ong’ (tuah).

Dalam pada itu, Nasrudin berkata, kenyataan yang pernah dibuat Kerajaan Pulau Pinang dan pemaju sebelum ini juga dilihat cuba memperbodohkan rakyat.

"Setelah beberapa minggu gambar salib ditularkan, sekarang mereka mendakwa ia adalah abjad Cina yang bermaksud wang atau nasib baik.

"Mereka cuba mencetuskan provokasi dan ketegangan kaum serta agama di Malaysia. Lambang salib sebesar itu sengaja dipaparkan, walhal mereka perlu menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini," katanya.

Sebelum ini, kewujudan lambang salib di Jelutong yang dipamerkan pada sebuah bangunan pangsapuri baharu di kawasan tersebut heboh di media sosial dan menjadi perbincangan hangat netizen, malah ia turut digelar ‘lambang salib paling besar di dunia’.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia