AKSB sasar 2,000 akaun air aktif semula

Dr Izani (kiri) melihat proses penapisan air semasa mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan LRA Chicha 2 di Pasir Hor, Kota Bharu pada Ahad. Foto: HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Dr Izani (kiri) melihat proses penapisan air semasa mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan LRA Chicha 2 di Pasir Hor, Kota Bharu pada Ahad. Foto: HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

KOTA BHARU - Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menjangkakan kira-kira 2,000 daripada 10,000 akaun bekalan air yang ditutup sebelum ini akan diaktifkan semula apabila Loji Rawatan Air (LRA) Chicha 2 di Pasir Hor di sini mula beroperasi sepenuhnya pada September nanti.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, situasi itu juga dijangka membuka ruang kepada pertambahan pelanggan baharu susulan peningkatan kapasiti dan kualiti bekalan air.

"Kira-kira 2,000 daripadanya menjadi akaun dorman selepas pengguna memilih untuk tidak lagi menggunakan bekalan AKSB berikutan masalah bekalan air yang dihadapi sebelum ini. Namun, kita masih mempunyai kira-kira 8,000 akaun aktif ketika ini.

"Saya jangka apabila loji ini siap sepenuhnya September nanti, akaun yang ditutup akan dibuka semula. Malah mereka yang belum mempunyai akaun juga akan mula membuat permohonan baharu kerana bekalan air sudah mencukupi," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan LRA Chicha 2 di Pasir Hor di sini pada Ahad.

Menurut beliau, projek bernilai RM55 juta itu kini telah mencapai 97 peratus kemajuan dan sedang melalui proses 'dry run' sebelum dilancarkan secara rasmi pada September ini.

Ujarnya, loji berkapasiti 20 juta liter sehari (MLD) itu dijangka mampu menyelesaikan sebahagian besar masalah bekalan air di Melor, Peringat, Jalan Pasir Puteh, Pasir Hor, Mulong, Bandar Baharu Tunjong, Salor dan Kedai Lalat.

"Air terawat yang dihasilkan telah memenuhi piawaian KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan sumber air mentah di loji ini juga berada pada tahap yang sangat baik.

"Apabila kuantiti air bertambah, bekalan akan sampai dengan lebih baik ke kawasan yang sebelum ini sering berdepan gangguan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Izani memberitahu, kerajaan negeri bersama AKSB dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) merancang menaik taraf loji-loji lama secara berperingkat menggunakan teknologi penapisan yang lebih cekap.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan kapasiti pengeluaran air melebihi keperluan rakyat menjelang 2030, selain mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) daripada lebih 50 peratus ketika ini kepada sekitar 40 peratus.

Menurut beliau, sasaran itu akan disokong melalui program penggantian paip lama secara agresif, termasuk cadangan meningkatkan kerja penggantian daripada 150 kilometer (km) kepada 200 km setahun sekiranya kemampuan kewangan AKSB terus bertambah.

"Saya tidak mahu AKSB mengejar keuntungan semata-mata. Jika ada lebihan pendapatan, kita mahu ia dikembalikan kepada rakyat melalui penambahbaikan sistem bekalan air, termasuk menaik taraf loji, tangki dan rangkaian paip," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!