Kor Ming pertahan kenyataan, sedia letak jawatan jika Najib dibebaskan

Nga Kor Ming
Nga Kor Ming
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa beliau sanggup melepaskan jawatan sebagai anggota Jemaah Menteri sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.

Timbalan Pengerusi DAP itu turut menegaskan pendirian itu dibuat atas prinsip mempertahankan kewibawaan sistem kehakiman negara.

Kor Ming berkata, terdapat pihak yang mendesak beliau meletakkan jawatan susulan kenyataan tersebut, namun menjelaskan kenyataan itu perlu dilihat dalam konteks penuh wawancara eksklusifnya bersama Oriental Daily.

Menurut beliau, pendirian yang dinyatakan adalah selaras dengan tanggungjawabnya sebagai seorang peguamcara dan peguambela Mahkamah Tinggi Malaya yang sentiasa mempertahankan kewibawaan sistem kehakiman negara.

"Jika Datuk Seri Najib yang mengakibatkan rakyat Malaysia kini terpaksa menanggung hutang 1MDB sebanyak RM51.4 bilion boleh dilepaskan tanpa menjalankan hukuman yang setimpal walaupun sudah didapati bersalah, ia bermakna kewibawaan sistem kehakiman negara ini telah digadai dan prinsip kedaulatan undang-undang seperti termaktub dalam Rukun Negara juga tidak lagi dihormati.

"Sekiranya keadaan sedemikian berlaku, demi mempertahankan integriti sistem kehakiman negara kita yang tercinta, saya sudi letak jawatan sebagai anggota Jemaah Menteri," katanya.

Beliau menegaskan perkara itu tidak mempunyai kaitan dengan soal peribadi, sebaliknya melibatkan prinsip yang dipegangnya sejak sekian lama.

"Saya kekal berpegang teguh dengan prinsip ini," katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Teluk Intan itu dilaporkan berkata beliau tidak akan teragak-agak menjadi individu pertama melepaskan jawatan menteri sekiranya Najib dibebaskan susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Artikel Berkaitan:

Dalam wawancara tersebut, beliau turut mendakwa UMNO Johor berulang kali menyuarakan hasrat supaya Najib dibebaskan lebih awal menerusi slogan "UMNO menang besar, Najib pulang ke rumah", yang disifatkannya sebagai "garis merah" kepada parti itu.

Dalam pada itu, Kor Ming mengucapkan tahniah kepada BN atas kemenangan dua pertiga majoriti pada PRN Johor dan menegaskan keputusan demokrasi perlu dihormati semua pihak.

Beliau berkata, kemenangan itu merupakan amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh integriti, selain merakamkan penghargaan kepada penyokong, petugas dan sukarelawan Pakatan Harapan (PH) yang telah berusaha sepanjang kempen pilihan raya.

"Walaupun kami tidak menang kali ini, esok masih ada, Pakatan Harapan tetap komited dan cakna untuk terus bekerja kuat dan berbakti kepada rakyat dan negara," katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh dilaporkan menawarkan diri untuk membuat surat peletakan jawatan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam Kerajaan Perpaduan.

Menerusi hantaran di Facebook, Dr Akmal menyindir pemimpin DAP berkenaan susulan beliau dilapor berkata akan menjadi individu pertama meletakkan jawatan sekiranya BN menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!