Dapur Penjara Tapah terbakar

TAPAH - Tindakan pantas kakitangan penjara berjaya menyelamatkan bahagian dapur masakan daripada musnah dalam kebakaran di Penjara Tapah di sini pada Sabtu.
Panggilan kecemasan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah pada jam 10.37 pagi melibatkan perkakasan dapur di Unit Sajian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kebakaran menjejaskan kira-kira 30 peratus bahagian bumbung dapur.
"Setibanya anggota di lokasi, kebakaran telah dipadamkan hasil tindakan awal kakitangan penjara menggunakan alat pemadam api.

"Sistem pepasangan kebakaran automatik jenis wet chemical juga berfungsi dengan baik membantu proses pemadaman," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, operasi disertai tujuh anggota itu kemudiannya diteruskan dengan pemantauan bagi memastikan tiada risiko kebakaran berulang.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 10.56 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.05 pagi.
"Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

