Lelaki hampir tersedut keluar pesawat, tingkap tercabut ketika penerbangan

THESSALONIKI – Seorang lelaki berdepan detik mencemaskan apabila hampir tersedut keluar dari sebuah pesawat Ryanair selepas tingkap berhampiran tempat duduknya tercabut ketika penerbangan dari Greece ke Jerman, lapor AFP.
Dalam kejadian itu, penumpang lain bertindak pantas menarik mangsa kembali ke dalam pesawat, sekali gus menyelamatkan nyawanya.
Mangsa yang merupakan pelancong dari Serbia menaiki penerbangan dari Thessaloniki, Greece ke Memmingen, Jerman.
Lelaki itu dilaporkan mengalami kecederaan akibat geseran, namun berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di hospital.
Seorang penumpang yang berada dalam pesawat itu memberitahu Radio Thessaloniki bahawa kebanyakan penumpang sedang tidur ketika insiden berkenaan berlaku.
"Kami terdengar bunyi dentuman kuat seperti tayar meletup sebelum menyedari berlaku penyahmampatan tekanan dalam kabin.
"Saya kemudian terdengar orang menjerit dan pada mulanya menyangka seseorang telah membuka pintu kecemasan secara tidak sengaja," katanya.
Menurut saksi itu, topeng oksigen terus terkeluar secara automatik, manakala ruang kabin dipenuhi bau yang kuat.
"Saya melihat kepala dan bahu seorang penumpang sudah berada di luar tingkap.
"Mujur dia masih memakai tali pinggang keledar," katanya.
Katanya, beberapa penumpang yang berada berhampiran segera membantu menarik mangsa masuk semula ke dalam pesawat.
Media Greece melaporkan kejadian berlaku ketika pesawat berada di ruang udara Macedonia Utara.
Laporan itu turut mendakwa tingkap berkenaan rosak selepas terkena serpihan yang dipercayai tercabut daripada salah satu enjin pesawat.
Sementara itu, Ryanair dalam satu kenyataan memaklumkan pesawat berkenaan berpatah balik ke Thessaloniki sejurus selepas insiden tersebut.
"Pesawat mendarat dengan selamat dan semua penumpang dibawa kembali ke terminal.
"Sebuah pesawat gantian kemudian disediakan bagi membawa penumpang meneruskan perjalanan ke Memmingen," menurut syarikat penerbangan tambang rendah dari Ireland itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
