Percaya kedutan tanda malang, lelaki hampir buta tumbuk mata sendiri

BEIJING – Seorang lelaki terpaksa menjalani pembedahan kecemasan selepas mengalami ablasi retina akibat menumbuk mata kanannya sendiri kerana mempercayai mitos yang tular di internet mengenai kedutan mata.
Menurut laporan Oddity Central, lelaki berasal dari Wuhan, Wilayah Hubei, Chinayang hanya dikenali dengan nama keluarga Le itu pada mulanya mengalami kedutan pada mata kanan selama beberapa hari.
Dalam kepercayaan tradisional masyarakat China, dipercayai kedutan pada mata kanan sering dianggap sebagai petanda malang.
Selepas kaedah seperti meletakkan kompres pada mata gagal menghentikan kedutan berkenaan, Le mencari penyelesaian di internet.
Beliau kemudian menemui satu dakwaan yang menyarankan agar mata dipukul bagi menghalau nasib buruk.
Tanpa mendapatkan nasihat perubatan, Le dilaporkan menumbuk mata kanannya berulang kali selama tiga hari.
Walaupun kedutan itu akhirnya berhenti, beliau mula mengalami masalah penglihatan yang serius apabila medan penglihatannya menjadi semakin sempit sehingga hanya mampu melihat lurus ke hadapan, manakala penglihatan di bahagian kiri dan kanan hilang.
Pemeriksaan doktor mendapati Le mengalami ablasi retina atau retinal detachment, iaitu keadaan apabila lapisan retina terpisah daripada tisu penyokong di bahagian belakang mata.
Beliau kemudiannya menjalani pembedahan kecemasan yang berjaya menyelamatkan serta memulihkan penglihatannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

